Monday, July 20, 2026

Masa depan pesawah: Antara kebajikan dan kestabilan pasaran

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

ISU kenaikan harga lantai belian padi telah menjadi perbincangan utama dalam kalangan pesawah sejak kebelakangan ini.

Sepanjang pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim harga lantai belian padi telah diselaraskan sebanyak dua kali, iaitu pada 2023 daripada RM1,200 kepada RM1,300 dan kepada RM1,500 per metrik tan baru-baru ini.

Walaupun langkah ini bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah, ramai yang masih tidak berpuas hati kerana mereka mengharapkan kenaikan sehingga RM1,800 per metrik tan.

Sejak memegang tampuk kepimpinan, Anwar telah menekankan kepentingan menjaga kebajikan pesawah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengumumkan keputusan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan harga lantai belian padi sebagai langkah mengurangkan beban pesawah.

Langkah ini dilakukan dengan pertimbangan keseimbangan pasaran agar harga beras tempatan tidak melonjak terlalu tinggi, sekali gus membebankan pengguna.

Untuk memastikan harga beras putih tempatan kekal pada kadar maksima RM2.60 sekilogram, kerajaan telah memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi.

Ini merupakan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan pesawah tidak mengorbankan kestabilan harga beras di pasaran.

Meskipun sudah dua kali kenaikan harga lantai belian padi dibuat dalam tempoh dua tahun, rata-rata pesawah masih tidak berpuas hati kerana kenaikan itu tidak mencapai angka mereka harapkan iaitu sebanyak RM1,800.

Timbalan Pengerusi PeSAWAH, Azhar Hashim berkata, dengan kos operasi yang meningkat, termasuk harga baja, racun serangga dan sewaan tanah, pesawah merasakan bahawa kadar RM1,500 masih belum mencukupi untuk menjamin pendapatan yang stabil.

Di samping itu, isu keberkesanan agihan subsidi dan bantuan tunai kepada pesawah juga menjadi perhatian.

Sebagai contoh, BERNAS telah menyumbangkan RM60 juta kepada pesawah miskin, dan tambahan RM30 juta telah diperuntukkan hasil perbincangan Perdana Menteri dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Namun, pesawah berharap agar bantuan ini disalurkan secara lebih cekap dan menyeluruh kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Memang tidak dapat dinafikan Kerajaan MADANI menghadapi cabaran besar dalam menangani isu ini.

Selain memastikan harga lantai belian padi terus meningkat secara berperingkat, kerajaan juga perlu menilai kecekapan sistem subsidi serta memperkasakan infrastruktur pertanian.

Antara langkah-langkah yang boleh diberi perhatian seperti peningkatan teknologi pertanian.

Memodenkan kaedah penanaman padi agar hasil lebih tinggi dengan kos operasi yang lebih rendah. 

Penstrukturan semula subsidi juga membolehkan bantuan secara terus kepada pesawah tanpa melalui pihak perantara yang boleh menyebabkan ketirisan.

Selain itu, kerjasama strategik dengan sektor swasta dengan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam menyokong industri padi dan beras.

Kajian harga lantai secara berkala juga boleh dilaksanakan dengan menilai kenaikan harga lantai berdasarkan perubahan kos sara hidup dan keperluan ekonomi semasa.

Langkah kerajaan dalam menaikkan harga lantai belian padi merupakan usaha progresif yang memberi kelegaan kepada pesawah, namun harapan mereka masih belum sepenuhnya tercapai.

Cabaran utama bagi kerajaan adalah memastikan kenaikan harga ini seimbang dengan kestabilan pasaran dan tidak membebankan pengguna akhir.

Dengan perancangan dan pelaksanaan yang lebih telus serta sistematik, masa depan pesawah di Malaysia boleh terus diperbaiki, selari dengan visi MADANI untuk menjaga kebajikan rakyat dalam ekosistem ekonomi yang mampan. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan