
LAMA dah penulis tak “melastik” orang. Kali ini penulis nak sentuh pasal peniaga tamak dan tidak jujur.
Bukan apa, sekarang ini tahap kesedaran masyarakat tentang bahaya kandungan gula yang tinggi semakin meningkat.
Tidak hairan hari ini semakin ramai yang beralih kepada pengganti gula terutama stevia untuk dijadikan pemanis dalam minuman.
Penulis sendiri sudah lama mengurangkan minuman bergula. Kalau ke warung atau restoran, hanya pesan teh, kopi atau coklat tanpa gula.
Cuma penulis agak kecewa memandangkan hampir semua peniaga minuman di Malaysia masih mengekalkan harga sama baik minuman bergula atau tanpa gula.
Padahal untuk minuman tanpa gula, mereka sudah jimat dari segi kos gula yang selama ini sering dijadikan alasan untuk menaikkan harga minuman.
Bukankah selama ini peniaga bukan main ‘laju’ menaikkan harga minuman apabila berlaku kenaikan harga gula, tetapi kenapa masih mengenakan harga sama bagi minuman tanpa gula?
Jika peniaga terutama yang beragama Islam, memikirkan soal keberkatan dalam perniagaan, penulis rasalah perkara ini tidak berlaku.
Ini tidak, kalau harga teh O bergula dikenakan bayaran RM1.20, teh O tanpa gula (kosong) pun dikenakan harga yang sama.
Penulis ucap tahniah kepada para peniaga yang memberikan ‘diskaun’ bagi minuman tanpa gula. Jelas mereka faham tentang keberkatan dalam perniagaan. Tapi jumlahnya boleh dikira dengan jari.
Penulis bukanlah kedekut soal 20 sen cuma apabila kita berniaga kena ada kejujuran barulah ada keberkatan dan rezeki yang kita peroleh pun berkat. Bukannya mengambil kesempatan terhadap pelanggan atau pengguna.
Dalam hal ini penulis harap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh buat satu peraturan agar peniaga mengurangkan harga minuman tanpa gula berbanding minuman bergula.
Ini bukan sahaja dapat menggalakkan orang ramai meninggalkan tabiat mengambil minuman bergula secara berlebihan tetapi juga membantu meningkatkan takap kesihatan rakyat.
Ini tidak, Kementerian Kesihatan duk kempen setiap hari “kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman” tapi yang terlebih senyum adalah peniaga sebab jimat beli gula, tapi caj kepada pelanggan pada harga sama dan dapat untung berganda!
KPDN tolong tengok sikit isu ni, boleh?

