Wednesday, July 22, 2026

Peniaga, PBT perlu bertanggungjawab – Sultan Pahang

Mesti Baca

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menasihatkan para peniaga dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu agar bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.

Baginda bertitah, dalam keghairahan untuk menyambut lebaran, sudah pasti para peniaga melipatgandakan usaha sebagai sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli. 

“Apa jua bentuk urusniaga yang dijalankan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak. 

“Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan,” titah Baginda menerusi Facebook Kesultanan Pahang hari ini.

Baginda turut menasihatkan agar peniaga di Pahang mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan manakala penguatkuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil perlu penuh dengan budi-bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

Wakil UMNO Bahagian Jerantut menyerahkan sumbangan peribadi Menteri Besar kepada Muhammad Zaimuddin Azlan.

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat dalam insiden dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu.

Muhammad Zaimuddin Azlan yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, 28, kini dirawat di Hospital Serdang akibat kecederaan selepas bergelut dengan penguatkuasa yang cuba merampas barang jualannya.

Simpati dengan keadaan yang menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Arif Bendahara yang tiba pada pukul 12.30 tengah hari turut bertanya keadaan kesihatan semasa dan menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang kepadanya.

Nasib yang menimpa Muhammad Zaimuddin turut mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau telah meminta Sekretariat Perantau Anak Pahang untuk melihat dan memberi bantuan yang sewajarnya sesuai dengan keperluan individu terbabit.

“Saya difahamkan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis, adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan dari pihak berkuasa,” katanya.

Kes membabitkan Abang Belon mendapat perhatian umum apabila video pergelutan antara dia dan pihak penguat kuasa DBKL tular menerusi media sosial.

Tindakan kasar DBKL mendapat kecaman pelbagai pihak dan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan