25.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

Benci sekali pun, usah simbah cuka pada luka Faisal Halim

Mesti Baca

PENULIS begitu simpati dengan nasib yang menimpa penjaring gol terbaik Piala Asia 2023, Faisal Halim yang terpaksa bertarung nyawa di luar pentas bola sepak hanya kerana menjadi mangsa pengkhianatan pihak-pihak tertentu terhadapnya.

Melihat kecederaan pada anggota badannya yang pertama kali diperlihat kepada umun hari ini, penulis yakin kes beliau bukan biasa-biasa.

Ini sudah kes jenayah yang berprofil tinggi dan perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa sementelah pelakunya masih bebas di luar sana.

Faisal disimbah dengan asid dalam keadaan sedar, pada waktu siang, di tempat umum dan sudah tentu banyak saksi mata melihatnya.

Itu belum ambil kira rakaman CCTV yang sudah tentu ada memandangkan tempat kejadian di hadapan sebuah pusat beli belah ternama.

Namun sehingga kini belum nampak tanda-tanda pelakunya akan ditangkap jauh sekali untuk mendakwa serta menghukumnya.

Penulis perhatikan ramai kalangan warganet memandang remeh kes Faisal dan ada yang seolah-olah memperlekeh, mentertawa atau menganggap kejadian tersebut bagai “drama” untuk meraih simpati.

Tidak, penulis tidak melihat ini sebuah drama melainkan ia adalah kes jenayah yang besar.

Ini bukan kes rusuhan penyokong bola sepak atau setara para pemain yang dibaling batu dari luar stadium, atau seperti kisah seorang pemain bola sepak dicekup di terowong ke bilik persalinan, tidak.

Advertisements

Sebaliknya pelaku tersebut memang ada niat untuk mencederakan bahkan boleh jadi mahu membunuh pemain negara ini.

Melihat komen-komen negatif para haters kepada Faisal sejak hari pertama kejadian sehinggalah hari ini, ketika pemain kebangsaan itu tampil buat kali pertama di khalayak sejak diserang pada 5 Mei lalu, penulis mengucap panjang.

Di mana rasa simpati orang kita. Kenapa hal-hal seperti ini dibuat main-main dan diperlekeh. Sungguh, tidak ada langsung perasaan simpati kepada pemain yang selama ini berkorban jiwa raganya untuk negara menerusi bola sepak.

Bayangkan kalau kejadian menimpa Faisal ini terjadi kepada diri kita sendiri, atau ahli keluarga kita, apakah kita juga akan mentertawakannya atau memperlekehnya?

Kalau benci sekali pun, tidak bolehkah kita sekadar berdiam diri dan tidak memberikan komen-komen yang menyakitkan hati?

Kesakitan yang diharungi Faisal tidak tertanggung, jadi usah menjadi tukang taruk cuka pada lukanya.

Cukuplah derita yang diharungi kini dan seperti kata Faisal sendiri “hidupnya tidak lagi seperti dulu”, ketika sebelum tragedi tersebut.

Marilah kita semua doakan agar Faisal segera sembuh dan dapat kembali di padang dan didoakan juga si pelaku dapat segera ditangkap dan dihadap ke muka pengadilan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua kapal dagang berlanggar, Maritim Malaysia aktifkan Carilamat

DUA buah kapal dagang dilapor telah berlanggar di 25 batu nautila timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul...

Lagi Artikel Berkaitan