25.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

6 pemimpin muda gesa kuat kuasa undang-undang secara tegas

Mesti Baca

ENAM pemimpin muda yang merentasi pelbagai parti politik hari ini secara sepakat menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang secara tegas bagi mengelak kejadian yang menimpa pemain bola sepak negara, Faisal Halim berulang.

Mereka ialah Exco Kerajaan Negeri Melaka yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi (PKR) dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen (DAP).

Turut menyatakan pendirian sama ialah Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda (Amanah); Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden (Pas) dan Ketua Armada Bersatu merangkap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Berikut ialah kenyataan penuh mereka:

Insiden keganasan yang berlaku terhadap beberapa pemain bola sepak baru-baru ini merupakan titik hitam dalam dunia sukan negara khususnya industri bola sepak.

Kami amat terkesan tatkala menekuni sidang media terkait perkembangan mutakhir Faisal Halim beberapa hari lalu yang sememangnya menyentuh nurani rakyat.

Bola sepak, yang selama ini dijulang sebagai sukan yang menyatukan rakyat kini dicemar dengan elemen keganasan dan ketaksuban melampau hingga menjurus kepada perpecahan di kalangan masyarakat.

Keganasan dalam sukan mesti dihentikan. Langkah proaktif wajar digerakkan oleh semua pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menangani budaya ‘hooliganisme’ dari terus menular dan merosakkan industri bola sepak negara.

Justeru, kami amat berharap agar pihak berkuasa akan bertindak tegas serta memastikan siasatan menyeluruh dan telus dilaksanakan terhadap insiden-insiden keganasan yang membabitkan atlet-atlet sukan negara.

Advertisements

Insiden seumpama ini tidak sewajarnya dipandang remeh dan perlu ditangani menerusi penguatkuasaan undang-undang yang tegas kerana ia berpotensi untuk berulang lagi pada masa akan datang.

Pada 5 Mei lalu, Faisal cedera disimbah dengan sejenis cecair dipercayai asid dalam kejadian di Damansara, dekat ibu negara.

Akibatnya, pemain sayap Harimau Malaya tersebut melecur dan cedera di bahagian muka, dada dan lengan kirinya.

Malahan baju-T dan seluar yang dipakai pula kelihatan cair dan koyak akibat terkena cecair tersebut.

Dia kemudian disahkan mengalami lecur pada tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan bagi merawat kecederaannya.

Akibat kejadian itu juga dan kecederaan yang dialami, masa depannya untuk terus beraksi di padang masih sama.

Beberapa hari lalu, Faisal muncul dalam sidang media khas yang diatur majikannya, Selangor FC di Shah Alam.

Dengan wajahnya yang berparut di kepala muka kiri serta sebahagian besar tangan kirinya diseliputi parut kesan lecur akibat asid, kemuculan pemain berasal dari Pulau Pinang itu meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihatnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua kapal dagang berlanggar, Maritim Malaysia aktifkan Carilamat

DUA buah kapal dagang dilapor telah berlanggar di 25 batu nautila timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul...

Lagi Artikel Berkaitan