PERKAHWINAN Faisal Halim dan isteri, Nur Syazwani Mizuana Shahril terlerai selepas dua lafaz cerai pemain tonggak skuad Harimau Malaya itu disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.
Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Faisal, mahkamah telah mengesahkan dua lafaz cerai yang dibuat penjaring terbaik Piala Asia 2023 itu pada 11 Jun dan 10 November lalu.
Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Faisal berkata, susulan itu, Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim mengesahkan kedua-dua lafaz tersebut sebagai sah.
Sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdul Halim, 27, telah melafazkan cerai kali pertama lima bulan lalu namun pasangan itu telah rujuk semula pada hari yang sama.
Katanya, bagi lafaz kedua, mahkamah mengarahkan Nur Syazwani Mizuana Shahril selaku defendan untuk menjalani tempoh idah selama tiga kali suci.
“Kita akan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk merekodkan perkara lain antaranya isu hadanah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Pemain sayap Selangor FC itu turut diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Nur Syazwani diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie.
Pada 2 September lalu, Nur Syazwani selaku pemohon telah memfailkan permohonan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, iaitu perceraian secara baik.
Bagaimanapun, pada 12 September, kedua-duanya tidak berhasrat meneruskan perceraian dan memilih untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak enam tahun lalu.
Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey telah berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

