27.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 8, 2024

Pukul bekas isteri hingga koma, peniaga diperintah bela diri

Mesti Baca

MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru, hari ini, memerintahkan peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri sehingga koma pada 2021, untuk membela diri.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 41, di akhir kes pendakwaan.

“Selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan, termasuk dokumen, ekshibit serta hujahan bertulis pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

“Oleh itu, tertuduh diperintahkan untuk membela diri mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rosmaini diberi tiga pilihan untuk membela diri iaitu pertama, boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, boleh memberi kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi; dan ketiga, boleh memberi keterangan secara bersumpah.

Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika membela diri.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari ini untuk sebutan semula bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, TC Lim.

Muhammad Hazeem Mohd Norizan sebagai peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Jahidah Nordin@Sylvester, 46, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.

Advertisements

Terdahulu, keluarga Jahidah membabitkan bapanya, Nordin Kasim, 70, bersama dua adik mangsa, Fauziah dan Fazariah Nordin, hadir seawal jam 8 pagi di pekarangan mahkamah untuk mengikuti prosiding berkenaan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan mangsa yang masih isterinya ketika itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, kira-kira jam 6 pagi 4 Mei 2021, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 325 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, kes Jahidah itu menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Wanita itu selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail, secara pembedahan dan masih koma pada 30 November 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilapor membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

KLDX, AsiaNext perluas pasaran aset digital di rantau ini

BURSA sekuriti digital, KLDX menjalinkan kerjasama dengan bursa sekuriti aset digital, AsiaNext bagi memperluaskan pasaran aset digital di rantau...

Lagi Artikel Berkaitan