31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Pengilang beras gagal patuhi lesen berdepan tindakan tegas

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap pengilang yang didapati gagal mematuhi peraturan lesen sekali gus memberi kesan terhadap bekalan beras tempatan.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memberi peringatan kepada pengilang padi, pemborong dan peruncit beras selaku pemegang lesen supaya mematuhi peruntukan perundangan bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Dalam kenyataan sama, KPKM turut memberi peringatan di mana tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya.

“Bekalan beras tempatan di pasaran sejak beberapa bulan lalu telah mengalami gangguan susulan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan.

“Bagi memastikan bekalan terjamin, KPKM giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi di samping melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di sepanjang rantaian bekalan padi dan beras dalam negara,” katanya.

Advertisements

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Yan, Kedah pada 15 Januari 2024 telah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM12,000 terhadap Kilang Beras Seng Wor Sdn Bhd selepas mengaku bersalah atas dua kesalahan.

Kesalahan itu termasuk menjual 250 kilogram beras gred hancur kepada pihak tidak berlesen dan kesalahan perselisihan kuantiti beras hancur pada rekod berbanding stok fizikal dalam milikan sebanyak 10,593.70 kilogram.

Hukuman itu membabitkan denda sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua dan hasil rampasan bernilai RM25,000 dijadikan hasil kerajaan.

Dalam pada itu, KPKM meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai aktiviti berkaitan padi dan beras yang menyalahi undang-undang dinasihatkan supaya melaporkan kepada beberapa saluran yang disediakan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan