Thursday, June 4, 2026

Malaysia kutuk tindakan Israel, gesa bebaskan sukarelawan GSF

Dengan menyekat misi kemanusiaan tersebut, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan rejim Zionis Israel yang menyekat konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dan menggesa kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa dibebaskan dengan kadar segera.

Tegas Perdana Menteri, misi kemanusiaan tersebut membawa orang awam yang tidak bersenjata bersama bantuan yang diperlukan oleh rakyat Gaza.

“Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi GSF.

“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera!

“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Beliau mengulas tindakan tentera rejim Zionis yang menyekat kapal-kapal yang menyertai GSF, yang mana turut disertai lebih 34 sukarelawan dari Malaysia pagi ini.

Anwar berkata, dengan menyekat misi kemanusiaan tersebut, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.

“Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.

“Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan,”katanya.

Justeru, tegas Anwar, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat.

Katanya, keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.

Jelas beliau, selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan