PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripara pihak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum membuat sebarang rayuab.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, sehingga kini pihaknya tirak menerima sebarang perkembangan baharu berhubung isu keputusan penggantungan oleh FIFA.
“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima.
“Sehubungan itu, pihak FAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkembangan lanjut sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, FIFA telah menggantung FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan selepas didapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.
Ini membolehkan kesemua pemain terbabit diturunkan ketika skuad Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut memaklumkan bahawa isu mengenai kesahihan kelayakan pemain-pemain tersebut untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia telah dirujuk kepada Tribunal Bolasepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.
FAM serta pemain terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut dan mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan permintaan keputusan bertulis penuh (motivated decision).
Sebelum ini Noor Azman berkata, pihaknya telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh kakitangan pentadbiran kepada badan induk dunia itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran,” katanya. — Edisi 9

