INSTITUT Malaysia-China (MCI), sebuah institusi TVET hasil kerjasama dua negara yang bakal dibuka tidak lama lagi, disasar menampung sehingga 2,000 pelajar dengan tumpuan dalam TVET berimpak dan bernilai tambah tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencetuskan idea itu berkata, pada peringkat awal, MCI akan beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk, sebelum pembangunan kampus tetap baharu yang akan dibina di atas tanah seluas 24.3 hektar nanti.
Beliau berkata, kerjasama TVET antara Malaysia dan China yang telah dibincangkan termasuk pembangunan modal insan, latihan pengajar, sokongan peralatan serta kemahiran teknikal, termasuk keperluan penghantaran tenaga pengajar bahasa Mandarin ke MCI.
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa penubuhan MCI berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi Malaysia dan China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan perbincangan bersama Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing berhubung cadangan penubuan MCI di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sebanyak 18 bidang TVET telah dikenal pasti untuk pelaksanaan awal, antaranya melibatkan bidang automotif, kenderaan elektrik (EV), automasi industri, tenaga solar, robotik, Internet of Things (IoT) serta agroteknologi.
“Sebagai langkah ke hadapan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di samping melaksanakan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar dalam sektor-sektor berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dan keperluan industri masa hadapan,” katanya.
Penubuhan MCI tercetus ketika Ahmad Zahid menerima kunjungan Naib Presiden China, Han Zheng sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China di Putrajaya pada 2023 lalu.
Ahmad Zahid berkata, institusi TVET itu akan diletakkan di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pelajar tempatan mendapat pendedahan kemahiran dalam bidang baharu daripada syarikat China yang beroperasi di Malaysia. — Edisi 9

