KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2025 merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan 2.81 mata.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pencapaian itu lebih bermakna apabila mereka merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.
KPM berkata, pengukuhan kurikulum hasil kerjasama dengan al-Azhar al-Sharif apabila Gred Purata bagi Calon Sekolah KPM turut mencatatkan pencapaian yang baik iaitu 2.63 mata.
“Seramai 61 calon telah memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran, termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah KPM.
“Secara keseluruhan, seramai 2,816 calon telah berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” kata KPM dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, seramai 4,382 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2025 di 135 pusat peperiksaan seluruh negara.
Manakala peratus kehadiran calon pula secara keseluruhan adalah sebanyak 98.7 peratus, dengan calon di bawah KPM merekodkan peratus kehadiran yang tinggi sebanyak 99.1 peratus.
KPM berkata, calon telah menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah.
“KPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, 852 petugas peperiksaan dan 468 pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan STAM 2025.
“Tahniah diucapkan kepada semua calon. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang pada masa hadapan,”katanya.

