PENULIS bebas, Murray Hunter dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam, Selangor semalam.
Prosiding secara dalam talian itu dijalankan di hadapan Hakim Noor Hayati Mat sekali gus memuktamadkan penyelesaian kes saman MCMC terhadap penulis yang berasal dari Australia tetapi menetap di Thailand itu.
Perintah berkenaan direkodkan berhubung tindakan saman fitnah yang difailkan oleh MCMC terhadap Hunter, susulan penerbitan kenyataan berunsur fitnah terhadap MCMC dan pihak-pihak berkaitan melalui platform dalam taliannya.
“Perintah Persetujuan tersebut juga merupakan sebahagian daripada Perjanjian Penyelesaian bertarikh 12 Januari 2026 yang dimasuki oleh kedua-dua pihak, berhubung prosiding jenayah terhadap Hunter di Thailand, yang juga berpunca daripada penerbitan kenyataan berunsur fitnah oleh Hunter terhadap MCMC melalui platform dalam taliannya,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, Perintah Persetujuan tersebut dimasuki susulan permohonan maaf terbuka oleh Hunter serta penurunan penerbitan berunsur fitnah tersebut daripada platform dalam taliannya.
Hunter juga, kata MCMC, telah mengesahkan aku janjinya di dalam Perintah Persetujuan tersebut untuk tidak mengulangi penerbitan kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kandungan yang serupa berhubung MCMC dan pihak-pihak berkaitan.
“MCMC memandang serius sebarang kenyataan palsu dan fitnah, dan akan terus mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi integriti MCMC serta memastikan akauntabiliti berhubung penerbitan yang melulu dan tidak bertanggungjawab sedemikian,” katanya.
Dalam prosiding dalam talian hari ini, MCMC diwakili oleh Datuk Selva Mookiah dan Nurshafiqa Balqish Jaffri, manakala Hunter mewakili dirinya sendiri.
Pada 14 Januari lalu, Hunter telah mengemukakan permohonan maaf terbuka serta menarik balik sepenuhnya semua komen dan artikel yang diterbitkannya berkaitan MCMC.
Hunter dalam satu kenyataan berkata, dia dan MCMC telah mencapai satu persefahaman melalui perjanjian penyelesaian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Dia mengakui bahawa beberapa komen dan artikel yang diterbitkan sebelum ini boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan serta menimbulkan salah faham, sekali gus berpotensi menjejaskan reputasi MCMC dan pihak-pihak berkaitan.
“Sehubungan itu, saya memohon maaf dan melahirkan rasa kesal sekiranya tindakan tersebut telah menyebabkan sebarang kerosakan kepada MCMC dan/atau pihak berkaitan. Saya juga menarik balik sepenuhnya semua komen dan artikel tersebut,” katanya.
Kenyataan itu turut menyenaraikan secara terperinci artikel-artikel yang terlibat seperti yang dimasukkan dalam Jadual 2 dan Jadual 3 Perjanjian Penyelesaian, melibatkan penerbitan di platform Substack, Eurasia Review serta media sosial X.
Sebahagian daripada artikel berkenaan turut menjadi subjek tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya, selain siasatan jenayah yang dilaporkan di Thailand. — Edisi 9

