Sunday, July 19, 2026

Keputusan SPM 2025 diumumkan 31 Mac ini – KPM

Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah mulai pukul 10 pagi pada hari pengumuman.

Mesti Baca

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 akan diumumkan pada 31 Mac ini, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

KPM memaklumkan, seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurutnya, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah mulai pukul 10 pagi pada hari pengumuman.

“Calon persendirian pula boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan bagi memperoleh keputusan peperiksaan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPM menegaskan pihak sekolah perlu memastikan pengurusan penyerahan keputusan kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.

Selain mendapatkan keputusan di sekolah, calon juga boleh membuat semakan melalui dua kaedah lain iaitu secara dalam talian dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Semakan secara dalam talian boleh dibuat menerusi portal myresultspm.moe.gov.my bermula pukul 10 pagi pada 31 Mac 2026 sehingga pukul 6 petang pada 6 April 2026.

Calon juga boleh mendapatkan ringkasan keputusan melalui SMS dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan menghantarnya ke 15888, dalam tempoh masa yang sama.

KPM turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM Tahun 2025 dan berharap kejayaan yang diraih akan menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan