Sunday, July 19, 2026

Rakan anggap kejayaan Azizulhasni tak masuk akal

'The Pocket Rocket Man' bukan sahaja sudah berusia 38 tahun, tetapi telah hampir lima bulan tidak menyentuh basikal sebelum ini.

Mesti Baca

KEJAYAAN pelumba berpengalaman negara, Datuk Azizulhasni Awang memenangi emas dalam acara keirin dan gangsa bagi acara pecut pada siri pembukaan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth, Australia beberapa hari lalu bagai tidak masuk akal.

Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harrif Salleh berkata, ini kerana Azizulhasni, 38, bukan sahaja sudah berusia tetapi sahabat sepelatih beliau sejak remaja itu sudah hampir lima bulan tidak menyentuh basikal sebelum ini.

“Tetapi bila kembali berlumba, masih mampu menang. Kadang-kadang terasa macam tak logik akal, tapi itulah Azizul. 

“Saya sangat kenal semangat dan jiwa juang beliau,” kata pelumba lebuh raya itu menerusi catatan dalam Facebook beliau semalam.

Mohd Harrif berkata, dengan usia yang semakin matang, komitmen kepada keluarga, menjaga anak-anak dan pada masa yang sama memberi fokus kepada latihan memang bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Mohd Harrif Salleh (kanan) bersama Azizulhasni Awang.

“Tetapi beliau membuktikan satu perkara — usia hanyalah angka jika kita masih ada disiplin, semangat dan keinginan untuk terus berjuang,” katanya.

Mohd Harrif yang sama-sama mengharungi perjalanan bersama Azizulhasni dalam sukan berbasikal sejak tahun 2003 juga kagum kerana sahabatnya itu masih lagi aktif dan terus membuktikan sesuatu yang luar biasa. 

Sehubungan itu, beliau menasihati para pelumba muda agar mencontohi semangat juang dan komitmen yang ditunjukkan oleh Azizulhasni.

“Belajarlah daripada orang lama. Datang dan tuntut ilmu, jangan malu bertanya. Jangan cepat selesa di dalam ‘comfort zone’. 

“Sekali menang bukan bermakna kita sudah hebat. Naik itu permulaan tetapi untuk kekal dan menamatkan perjalanan dengan baik, itu yang paling sukar.

“Hormat dan respek untuk seorang legenda. The Legend — The Pocket Rocket Man, Pok Joe,” katanya.

Pada aksi final di Velodrom Perth SpeedDome Sabtu lalu, Azizulhasni berjaya menewaskan pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson untuk meraih emas dalam acara keirin.

Sehari kemudian, beliau sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila menewaskan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev untuk memenangi gangsa dalam acara pecut. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan