26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Azizulhasni ulangi pencapaian emas berganda di ACC

Mesti Baca

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, berjaya mengulangi pencapaian emas berganda Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 15 tahun lalu, apabila cemerlang meraih gelaran keirin lelaki dengan menidakkan cabaran getir tiga pelumba Jepun, hari ini.

Kejayaan di Velodrom Nasional, di Nilai, Negeri Sembilan turut membantu beliau mencipta legasi sendiri untuk meraih pingat emas ke-12 di ACC, selain menamatkan penantian lapan tahun beliau untuk kembali bergelar ‘Raja Keirin Asia’, selepas edisi 2015 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman, meraih pingat emas ke-11 ACC pada Jumaat lepas, selepas ungguli acara pecut buat kali ketujuh, selepas kejayaan pada  2008, 2009, 2014, 2017, 2019 dan 2020.

Beliau turut pernah mencipta sensasi apabila meraih emas bagi kedua-dua acara pecut dan keirin pada edisi 2008 di Nara, Jepun, selain turut meraih perak acara pecut berpasukan edisi tersebut, manakala ini hanya kali ketiga meraih emas keirin (2008, 2015, 2023).

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga harus diberi pujian, kerana bersemangat kental untuk meneruskan perlumbaan selepas kemalangan pada separuh akhir, untuk bangkit meraih gangsa acara berkenaan.

Pingat perak menjadi milik juara Piala Negara-Negara UCI di Cairo, Mesir, Shinji Nakano, manakala juara bertahan Kohei Terasaki menamatkan saingan di tempat keempat.

Bercakap kepada pemberita selepas kejayaan itu, juara dunia keirin 2017 itu yang menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022, berkata bukan mudah untuk mengulangi kejayaan emas berganda ACC, kerana persaingan di Asia kini sudah meningkat.

Advertisements

“Apabila saya mendapat undian bermula dari tempat ketujuh pada final, ia bukan permulaan yang baik. Namun, saya kekal fokus dan terus pergi ke depan apabila perlumbaan bermula kerana tahu akan berdepan saingan sengit dari pelumba Jepun.

“Saya kekal dalam kelompok depan, lihat tiada pelumba lain yang mahu pergi ke depan. Jadi apabila memasuki pusingan terakhir, saya terus memecut sehingga garisan penamat, memastikan tayar saya pertama melintasi garisan.

“Ini mungkin ACC terakhir buat saya, dan bukan sesuatu yang mudah untuk ulangi kejayaan berganda, kerana persaingan di Asia sekarang dah hampir sama macam peringkat dunia. Saya harap dapat kekalkan prestasi ini, tingkatkan sedikit lagi sebelum Kejohanan Dunia, tiga minggu lagi (di Glasgow, Scotland),” katanya.

Terdahulu pada saingan separuh akhir, Mohd Azizulhasni mara ke final selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Ota Kaiya.

Shah Firdaus pula, berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan berkumpulan ketika saingan separuh akhir kedua berbaki satu pusingan, dengan hanya Terasaki sahaja yang berjaya terselamat daripada pelanggaran itu.

Namun, semangat kental pelumba berusia 27 tahun itu harus dipuji apabila beliau bangkit untuk menamatkan perlumbaan, walaupun mengalami kecederaan di bahagian pinggul dan pelana basikalnya patah ketika kemalangan tersebut, untuk melayakkan diri ke final. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan