Thursday, July 23, 2026

Piala Asia B23: Harimau Muda ‘bungkus’ lebih awal

Mesti Baca

SKUAD Harimau Muda “pulang awal” dalam aksi Piala Asia Bawah 23 Tahun (B23) setelah tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan D di Khalifa International Stadium di Doha, Qatar, sebentar tadi.

Mengulangi kesilapan mudah sehingga membuka peluang pasukan lawan menjaringkan gol sepertimana aksi pertama Kumpulan D menentang Uzbekistan berulang ketika bertemu pasukan Asia Tenggara itu.

Turun dengan misi untuk meraih kemenangan bagi menghidupkan kembali peluang ke pusingan seterusnya, anak buah Juan Torres Garrido bermula dengan baik susulan percubaan awal dilancarkan Fergus Tierney.

Namun, percubaan Tierney seawal minit keempat dalam kawasan penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Vietnam yang dikawal Van Chuan Quan.

Tersentak dengan serangan tersebut, Vietnam kemudiannya tampil dengan lebih baik untuk menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik.

Peluang pertama hadir pada minit ke-18 selepas Vo Hoang Minh Khoa melakukan tandukan selepas menerima umpanan cantik rakan sepasukannya tetapi ditepis dengan baik Muhammad Azim Al Amin.

Jaringan yang dinantikan kem Vietnam hadir pada minit ke-39 apabila mereka dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti di penjuru kiri gol negara.

Seakan percuma diambil Van Khang Khuat terus menerjah gawang skuad negara bagi meletakkan skuad kendalian Anh Tuang Hoan itu dihadapan.

Nooa Laine mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti diselamatkan Chuan Quan.

Vietnam menambah jaringan kedua ketika aksi memasuki minit ke-60 menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Minh Khoa.

Sepakan tersebut dihadiahkan oleh pengadil perlawanan dari Iran, Mooud Bonyadifard berikutan kekasaran dilakukan Ubaidullah Shamsul ke atas Vi Hao Bui.

Malaysia cuba bangkit dengan dua percubaan terbaik oleh dua pemain gantian iaitu Haqimi Azim Rosli dan Alif Izwan pada lewat permainan tetapi Chuan Quan cemerlang menggagalkan percubaan tersebut untuk memastikan Vietnam meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Malaysia akan berdepan Kuwait yang dibelasah Uzbekistan 5-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D Selasa ini namun tidak memberi apa-apa makna kepada kedua-dua pasukan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan