SEPANYOL muncul juara baharu kejohanan Liga Negara Negara UEFA apabila menundukkan Crotia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan.
Kejayaan dirakam skuad La Roja itu pastinya menjadi detik lebih manis buat Aymeric Laporte dan Rodri apabila meraih dua trofi untuk negara dan kelab susulan membantu Manchester City menjuarai Liga Juara Juara Eropah, lapan hari lalu.
Namun, kekalahan itu pula disifatkan kejam buat pemenang Ballon d’or, Luka Modric yang masih kempunan trofi untuk negaranya.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium De Kuip, Belanda pada awal pagi tadi menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak namun tidak banyak percubaan tepat dilakukan.
Pada penentuan sepakan penalti, Nikola Vlasic menjaringkan gol pertama Crotia namun disamakan penyerang Sepanyol, Joselu.
Marcelo Borozovic meletakkan Crotia 2-1 di depan namun disamakan semula oleh Rodri.
Modric dan Mikel Merino masing-masing menjadikan kedudukan 3-3 namun penjaga gol Sepanyol, Unai Simon menyelematkan sepakan penalti Lavro Majer sambil Marco Asensio menjadikan kedudukan 4-3.
Ivan Perisic menjadikan kedudukan 4-4 tetapi Laporte selaku pengambil sepakan kelima La Roja gagal menyempurnakannya apabila rembatannya sekadar menggegar palang Dominik Livakovic.
Simon menjadi duri dalam daging Crotia apabila menyelamatkan sepakan Bruno Petkovic sementara pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal menjadi wira Sepanyol dengan menjaringkan penalti ala ‘Panenka’.
Sepanyol muncul negara ketiga bergelar juara kejohanan dwitahunan itu selepas Portugal dan Perancis memenanginya dalam dua edisi awal sebelum ini. – Edisi 9