PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mahu Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales digantung dalam sebarang aktiviti bola sepak selama 15 tahun.
Ini susulan pusingan U yang dibuat RFEF ke atas Rubiales susulan tindakan kontroversinya mencium bibir, Jenni Hermoso selepas perlawanan akhir Piala Dunia Wanita di Australia, minggu lalu.
Selain itu, badan induk bola sepak Sepanyol itu turut berdepan ancaman FIFA yang menghalang pasukan kebangsaan Sepanyol daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.
Sekatan tersebut juga bakal berkuatkuasa kepada kelab-kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid daripada menyertai kejohanan besar seperti Liga Juara Juara Eropah (UCL).
Rubiales minggu lalu diberikan penggantungan sementara selama 90 hari oleh FIFA tetapi presiden itu mendapat sokongan daripada RFEF.

Ini kerana RFEF mahu mengetahui keputusan siasatan dalaman yang dibuat badan itu susulan tindakan Rubiales mencium bibir Hermoso susulan kemenangan ke atas England di final.
Namun, selepas mengadakan mesyuarat selama lima jam semalam, RFEF mengesahkan telah meminta Rubiales supaya meletakkan jawatan.
Dalam perkembangan sama, Rubiales mengambil tindakan terakhir sebelum penggantungannya Jumaat lalu dengan mengarahkan RFEF menulis surat kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengenai campur tangan kerajaan dan mahu persatuan itu dikenakan sekatan.
Jadi, sekiranya aduan itu diterima UEFA bermakna pasukan kebangsaan dan kelab Sepanyol akan disekat daripada sebarang kejohanan Eropah. – Edisi 9