KEJAYAAN pempengaruh media sosial, Khairul Aming, 31, yang dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori People’s Choice: Creator Of The Year di Tik Tok Award 2023 adalah motivasi terbaik kepada anak muda khususnya di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman boleh dijadikan contoh buat anak muda untuk menjadi pempengaruh dan pencipta kandungan yang bertanggungjawab di media sosial.
“Tahniah diucapkan buat saudara Khairul Amin yang telah dinobatkan sebagai ‘Creator of The Year’ oleh Tiktok Malaysia.
“Saya meneliti ucapan penghargaan beliau semalam dan memuji pesanan saudara Khairul Amin Kamarulzaman buat pencipta kandungan muda yang menekankan bahawa pencipta kandungan juga perlu mempunyai adab dan kebolehan untuk menyelesaikan masalah.
“Tauladan dan nasihat saudara Khairul adalah motivasi terbaik buat anak-anak muda khususnya di Negeri Selangor,”katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.
Amirudin berkata, di era dunia media sosial yang rancak ini, kesopanan, adab dan pendidikan adalah penting dalam membangun masyarakat yang berbudi pekerti.
Beliau berkata, di bawah Tawaran Kita Selangor, Kerajaan Perpaduan turut akan melaksanakan Geran Kreatif Digital Kita Selangor bertujuan untuk merancakkan aktiviti dan kreativiti kandungan digital di kalangan anak-anak muda.
“Insya-Allah kita berharap agar lebih ramai anak muda akan mengikuti jejak langkah Saudara Khairul Aming dalam menjadi pempengaruh dan pencipta kandungan yang bertanggungjawab.
“Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada saudara Khairul Aming,”ujar beliau. – Edisi 9