SELEPAS membantu ratusan peniaga tempatan dan mencipta banyak peluang pekerjaan di e-dagang, Beehaus dan Tradehub kini menjadi jurulatih menerusi Program ShopeeXperts.
Dua syarikat popular yang menjual produk kelengkapan rumah itu terbabit dalam program yang memberi bimbingan kepada rakan peniaga seperjuangan untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka di Shopee.
Pada masa yang sama mendidik penjual tempatan untuk berjaya di platform perniagaan e-dagang.
Pengasas Beehaus, Tee Ying Fui dan Felix Lee mengendalikan bengkel latihan e-dagang percuma kepada golongan muda yang kurang bernasib baik di Banting, Selangor.
Lee mempunyai pengalaman luas dalam pengehosan web dan pemasaran runcit dalam talian. Kedua-dua rakan kongsi ini menawarkan pekerjaan dengan mengupah protege mereka sebagai hos strim langsung atau mengajak menjadi ahli gabungan yang menjual produk Beehaus secara konsainan.
Selain itu, anak didik mereka juga boleh memilih untuk menceburkan diri dalam Shopee.
“Tee berasal dari Banting dan semua anggota keluarganya hilang pekerjaan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Peluang pekerjaan di Banting sememangnya terhad, jadi kami mahu membantu komuniti setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan,” kata Lee.
“Kami memerlukan hos untuk mempromosikan produk Beehaus di strim langsung, namun menghadapi kesukaran untuk mencari bakat.
“Sekiranya kami mengupah anak muda di Banting, mereka tidak perlu bekerja jauh dari rumah dan keluarga,” katanya lagi.
Kira-kira 200 penduduk di Banting telah menerima manfaat daripada bengkel Tee dan Lee.
Segelintir protege yang menamatkan latihan telah menjadi penjual bebas di Shopee.
“Seramai 50 rakan yang mengikuti latihan kami memulakan perniagaan di Shopee. Bagi anak didik yang ingin berniaga dalam talian, namun tiada wang modal boleh mengambil produk Beehaus secara konsainan.
“Beehaus kini mempunyai 60 ahli gabungan dan kami meneruskan khidmat komuniti ini bagi membantu penjual terus mencapai kejayaan,” kata Lee.
Jika Beehaus menekankan strim langsung dan ahli gabungan, Tradehub pula memperkenalkan kursus analisis data agar penjual lebih memahami pelanggan mereka, seterusnya cekap mengendalikan perniagaan dalam e-dagang.
Pengasas Tradehub, Leon Wong berkata, mereka membimbing pembekal barangan di Kuala Lumpur dan memberikan tips langkah-langkah menjual produk di Shopee.
“Tradehub menyokong ekonomi tempatan dengan mendapatkan produk kelengkapan rumah yang berkualiti daripada pembekal barangan untuk dijual di Shopee pada harga berpatutan,” katanya.
Selepas beberapa tahun beroperasi dalam talian, Wong menyedari kepentingan data untuk membantu membuat keputusan perniagaan dengan bijak.
Wong telah membantu ratusan penjual tempatan meningkatkan pendapatan sehingga 10 kali ganda dengan mengajar tentang menganalisis matlamat perniagaan dan teknik jualan.
“Kami membantu meningkatkan pengeluaran mereka supaya kos pengeluaran dapat dikurangkan, sekaligus memanfaatkan kedua-dua konsumer dan perniagaan.
“Saya percaya laluan menuju kemampanan adalah inovasi berterusan serta memberi tanggapan berterusan kepada audiens sasaran,” katanya. -Edisi 9