STEVEN Gerrard merasai kekalahan pertama di Liga Pro Saudi (SPL) sebagai pengurus kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq selepas tewas 2-0 kepada Al-Hilal, di Stadium Putera Faisal Fahd, awal pagi tadi.
Al-Hilal yang beraksi sebagai tuan rumah masih belum dapat menurunkan bintang sensasi Brazil, Neymar susulan kecederaan serta pemain tengah, Sergej Milinkovic-Savic yang digantung susulan kad merah yang diterimanya dalam perlawanan sebelum ini.
Namun, itu tidak melemahkan Al-Hilal yang dibarisi Kalidou Koulibaly dan Ruben Neves serta rekrut baharu, Alexandr Mitrovic.
Gerrard yang menurunkan kapten, Jordan Henderson bagi mengetuai jentera tengah dilihat bergelut dengan penguasaan Al-Hilal.
Hasilnya, kelab yang berpangkalan di Riyadh itu meledak dua gol dalam separuh masa pertama.
Penyerang Brazil, Malcom meletakkan Al-Hilal di depan pada minit ke-24 menerusi sepakan deras di bahagian bawah gawang selepas menerima hantaran daripada Mitrovic.
Anak buah Gerrard terus ketinggalan apabila tuan rumah memperoleh gol kedua menerusi jaringan Salem Aldawsari menerusi satu sepakan gunting cantik melepasi penjaga gol Al-Ettifaq, Paulo Victor.
Pelawat cuba bangkit di babak kedua namun ketumpulan jentera serangan menafikan sebarang gol buat skuad bimbingan Gerrard.
Al-Ettifaq sebelum ini memulakan kempen SPL dengan cemerlang apabila menang dua perlawanan pertama sebelum seri dalam perlawanan berikutnya sekali gus mengekalkan kedudukan mereka di tangga kelima liga.
Al-Hilal pula kini berada di tempat kedua, ketinggalan dua mata berbanding pendahulu, Al-Ittihad yang menang kesemua empat perlawanan awal SPL. – Edisi 9