SEPANYOL telah merampas artifak emas purba bernilai 60 juta euro (RM304.88 juta) yang dicuri dari Ukraine selepas pencuri berjaya ditangkap ketika cuba menjualnya di Madrid, kata polis Sepanyol.
Antara artifak emas purba yang dirampas termasuklah rantai, gelang, anting-anting yang wujud sejak zaman Greco-Scythian antara abad ke-8 dan ke-4 SM, kata polis.
Barangan itu dipamerkan di muzium Kyiv antara tahun 2009 hingga 2013 sebelum dibawa keluar dari Ukraine pada 2016, kata Polis Negara Madrid dalam satu kenyataan, tanpa menamakan muzium berkenaan.
Polis berkata, dokumen artifak itu dipalsukan dan menjadikan ia seolah-olah milik Gereja Ortodoks Ukraine.
Lima individu iaitu tiga warga Sepanyol serta dua lagi warga Ukraine ditangkap untuk siasatan lanjut. -Agensi