MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) berbesar hati apabila Universiti Edinburgh mempelawa mengadakan kerjasama dalam menerokai Program Berkembar antara universiti.
Perkhabaran baik itu disampaikan Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook beliau.
Beliau berkata, hasil kunjungannya ke Universiti Edinburgh itu, banyak perkara yang dibincangkan mengenai kebajikan dan prestasi kecemerlangan 132 pelajar tajaan MARA.
“Yang paling utama pihak Universiti Edinburgh berbesar hati untuk MARA mengadakan berkerjasama bersama mereka untuk terokai program berkembar bagi membuka peluang lebih ramai pelajar Malaysia untuk mendapat pendedahan akademik di luar negara.
“Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan minta pengurusan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di bawah MARA adakan perbincangan lanjut selepas ini bersama Universiti Edinburgh,” katanya.
Dalam kunjungan tersebut, pihak Universiti Edinburgh diwakili oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa, Fakulrti Sains dan Kejuruteraannya, Profesor Dr Tom Bruce; Ketua Bahagian Pengambilan dan Pentadbiran Kolej Kesenian, Kemanusiaan dan Sains Sosial, Rupert Lezemore serta Pengurus Bahagian Pengambilan Antarabangsa, Chris Crame.
Turut serta Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) MARA, Datuk Zulfikri Osman dan Pengarah MARA United Kingdom, Noru Samsuddin.

Ujar Asyraf, kunjungan beliau ke University Edinburgh itu bagi mengadakan perbincangan strategik kerjasama dengan pihak pengurusan universiti.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mengadakan pertemuan dengan 157 pelajar tajaan MARA yang sedang mengikuti pengajian di Scotland.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menggesa para pelajar terbabit dapat menggali seberapa banyak khazanah ilmu di negara itu dan kembali ke tanahair untuk menyumbang kepada pembangunan dan pembinaan negara bangsa.
“Saya rumuskan bahawa dengan perbelanjaan besar hampir RM1 juta MARA pembiayaan pengajian setiap seorang pelajar sepanjang tiga tahun di UK ini, pastinya harapan menggunung diletakkan di atas bahu mereka untuk menjadi manusia yang bermanfaat dan berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – Edisi 9