Monday, July 20, 2026

Bayaran STR Fasa 2 diawalkan, dikreditkan mulai esok

Bagi Fasa 2, Kerajaan menyediakan peruntukan RM1.3 bilion, meningkat daripada RM1.1 bilion pada Fasa 1, Januari lalu. 

Mesti Baca

KERAJAAN hari ini mengumumkan bahawa Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima akan diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat mulai esok

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan hari ini.

Menurut beliau, pembayaran tersebut dijangka membantu jutaan rakyat membuat persiapan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“Jumlah penerima bagi Fasa 2 meningkat kepada 5.2 juta, berbanding 5 juta pada Fasa 1.

“Bagi Fasa 2, Kerajaan menyediakan peruntukan RM1.3 bilion, meningkat daripada RM1.1 bilion pada Fasa 1, Januari lalu. 

“Ini termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan, yang akan menerima bayaran mulai 30 Mac,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan hari ini.

Anwar berkata, secara keseluruhan, bantuan STR Fasa 2 akan memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.

Beliau berkata, peluasan penerima STR Fasa 2 membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat bantuan sosial kerajaan, khususnya ketika negara menghampiri perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Melalui STR, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta SARA Untuk Semua, Kerajaan MADANI terus berusaha memastikan hasil negara dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh rakyat, terutama golongan yang memerlukan,” kata beliau.

Bagi tahun 2026, peruntukan keseluruhan STR dan SARA berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta Soalan Lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Sementara itu, Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk kepada portal rasmi STR untuk maklumat terkini. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan