KEDUDUKAN dan peranan wanita di negara ini masih menunjukkan wujud ketidakadilan struktur dan amalan diskriminasi sehingga menyempitkan ruang dan peluang golongan terbabit untuk menyumbang secata optimum kepada pembangunan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2025, kadar penyertaan tenaga buruh wanita berada pada tahap 56.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding lelaki, iaitu 83 peratus.
Beliau berkata, Statistik Siswazah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula melaporkan bahawa secara purata siswazah wanita memperoleh pendapatan RM900 lebih rendah berbanding siswazah lelaki walaupun memiliki kelayakan akademik yang setara.
“Dalam tradisi nilai yang menjunjung keadilan, amanah dan ihsan, masyarakat sejahtera ialah masyarakat yang menghargai sumbangan wanita sebagai rakan kongsi penting dalam membina keluarga, komuniti dan negara.
“Mereka sewajarnya diberikan akses penuh kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan yang baik, peluang pekerjaan yang adil serta ruang yang saksama untuk membina masa depan yang lebih sejahtera,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2026 hari ini.

Azril berkata, dalam era transformasi digital serta peralihan kepada ekonomi hijau dan ekonomi masa depan, penglibatan wanita secara lebih meluas bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik.
Malangnya kata beliau, jurang penyertaan wanita dalam aspek kepimpinan dan tadbir urus masih ketara.
Jelas beliau, walaupun peratusan wanita dalam lembaga pengarah bagi 100 syarikat tersenarai awam teratas telah melepasi sasaran 30 peratus, perwakilan wanita dalam kepimpinan politik dan pentadbiran tertinggi negara masih rendah.
“Ketika ini, hanya sekitar 13.5 peratus ahli Parlimen Malaysia terdiri daripada wanita, manakala kurang daripada 20 peratus jawatan menteri dipegang oleh wanita.
“Keadaan ini secara tidak langsung mengehadkan peluang wanita untuk terlibat secara bermakna dalam proses penggubalan dasar serta dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.
Beliau berkata, dalam sektor pentadbiran dan kepimpinan organisasi pula, wanita hanya merangkumi sekitar 27.1 peratus daripada penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus.
Katanya, jurang tersebut bukan sahaja menjejaskan keseimbangan representasi dalam sistem demokrasi, malah berisiko mengabaikan perspektif serta keperluan separuh daripada populasi negara dalam agenda pembangunan nasional.
Sehubungan itu, MASSA menggesa semua pihak, termasuk individu, sektor perniagaan, penggubal dasar dan organisasi masyarakat sivil untuk memperkukuh komitmen dalam memperkasa wanita.
“Usaha ini memerlukan pembaharuan dasar dan kerangka perundangan yang lebih progresif bagi memastikan hak dan maruah wanita terus terpelihara serta mengekang sebarang bentuk eksploitasi dan diskriminasi yang menjejaskan potensi mereka,” katanya.
Pada masa yang sama, tegas beliau, ruang perlu terus diperluas untuk mengangkat suara, pemikiran dan kepimpinan wanita dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.
Pelaburan yang lebih besar juga perlu diberikan dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan serta pemerkasaan ekonomi wanita sebagai asas kepada pembangunan negara yang lebih seimbang dan berdaya tahan.
“MASA percaya bahawa apabila wanita diberikan peluang, sokongan dan akses yang adil, mereka bukan sahaja mampu memperkukuh ekonomi negara, malah menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sejahtera, berintegriti dan berperikemanusiaan,” katanya. – Edisi 9

