KERAJAAN perlu menangani masalah kemiskinan digital terlebih dahulu sekiranya mahu menjadikan pendidikan digital sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, sekiranya KPM gagal menangani jurang digital yang masih meluas, kesemua agenda ke arah pembangunan digital termasuk dalam pendidikan hanya sekadar retorik semata-mata.
Ini kerana, menurut beliau, dapatan kajian Tahap Kompetensi Digital Guru yang dilaporkan dalam dokumen Dasar Pendidikan Digital 2023 menunjukkan hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan, 39.9 peratus pada tahap pertengahan dan 57.9 peratus pada tahap asas.
Beliau berkata, dokumen sama turut melaporkan, bahawa kesediaan peralatan komputer, peranti digital, perisian dan perkhidmatan jalur lebar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia masih berada di bawah purata dalam kalangan negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).
“Selain itu, faktor pemilikan gajet, selain status murid itu sendiri yang sebahagiannya tinggal di kawasan yang tidak mempunyai liputan jalur lebar yang stabil atau terhad, merupakan antara cabaran utama dalam proses pendigitalan pendidikan di Malaysia,” dalam kenyataan media hari ini sempena sambutan Hari Guru 2024.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam Anjakan 7 iaitu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
Azril berkata, beliau mengakui peranan guru dalam memanfaatkan ruang digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) dilihat semakin penting.
Malahan, katanya, pendidikan digital kini merupakan salah satu pemacu utama dalam perkembangan ekonomi negara manakala penguasaan kemahiran digital semakin penting dalam era Revolusi Industri 4.0 dan proses PDP berasaskan teknologi.
Bagaimanapun, beliau senada dengan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia baru-baru ini yang menyatakan bahawa tahap kesediaan digital dan kepakaran guru di negara ini adalah terhad.
“KPM harus memandang serius laporan Bank Dunia berhubung perkara ini dan menjadikannya peluang untuk menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur digital di sekolah, terutama di kawasan luar bandar.
“KPM juga harus memberi keutamaan dalam memperkenalkan lebih banyak program pembangunan kapasiti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk guru, pelajar dan pentadbir sekolah.
“Tumpuan perlu diberikan terhadap penyediaan infrastruktur dan teknologi kerana pembelajaran dan pengajaran berasaskan teknologi mempunyai kapasiti untuk meningkatkan pemikiran kritis, pengalaman pembelajaran serta prestasi akademik,” katanya.
Katanya, dengan menyepadukan teknologi ke dalam kurikulum sekolah, contohnya, akan menambah baik kaedah pengajaran dan membolehkan guru mengembangkan kandungan buku teks serta mencipta situasi pembelajaran bilik darjah yang lebih realistik dan berpusatkan pelajar.
Tambah beliau, semua itu akan membuka lebih banyak pilihan ke arah perkembangan dan kemajuan pelajar.
Azril berkata, Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan KPM tahun lepas dan berkuat kuasa sehingga 2030, adalah satu keperluan yang tepat pada masanya.
“Namun, ia hanya dapat mencapai matlamatnya dengan adanya infrastruktur yang betul dan isu berkaitan kemiskinan digital dalam kalangan rakyat ditangani.
“Pendigitalan pendidikan adalah penting tetapi tanpa prasarana dan perkakasan yang perlu, dasar ini akan menjadi tidak berkesan,” katanya. – Edisi 9

