MALAYSIA disaran menarik balik reservasi terhadap Artikel IX di bawah Konvensyen mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948 dan segera memfailkan deklarasi intervensi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi membantu menghentikan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza.
Pengerusi Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan Malaysia memainkan peranan lebih aktif dalam menegakkan undang-undang antarabangsa serta mempertahankan hak rakyat Palestin.
Menurut beliau, pada 12 Mac lalu, Belanda dan Iceland telah memfailkan deklarasi intervensi dalam kes Application of the Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide in the Gaza Strip (South Africa v. Israel) yang sedang dibicarakan di ICJ.
Katanya, intervensi itu dibuat di bawah Artikel 63 Statut Mahkamah yang membolehkan negara-negara pihak kepada sesuatu konvensyen mengambil bahagian dalam prosiding apabila tafsiran konvensyen tersebut dipersoalkan.
“Langkah Belanda dan Iceland menambahkan lagi bilangan negara yang tampil mempertahankan integriti Konvensyen Genosid 1948 serta memastikan tafsirannya diperjelaskan oleh badan kehakiman tertinggi dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setakat ini beberapa negara lain termasuk Colombia, Mexico, Sepanyol, Türkiye, Chile, Ireland, Brazil, Cuba, Belize, Bolivia, Maldives dan Belgium turut memohon untuk mengambil bahagian dalam prosiding tersebut.
Tambahnya, tahap penglibatan antarabangsa yang tinggi itu mencerminkan keseriusan dakwaan yang sedang dipertimbangkan mahkamah serta kepentingan kes berkenaan terhadap masa depan undang-undang antarabangsa.
Azril berkata, situasi di Gaza kini telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang dahsyat apabila puluhan ribu rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak Oktober 2023, dengan wanita dan kanak-kanak membentuk sebahagian besar daripada jumlah korban.
Menurutnya, kemusnahan infrastruktur awam termasuk sistem kesihatan dan pendidikan, selain perpindahan besar-besaran penduduk serta kebuluran yang melanda wilayah tersebut menimbulkan persoalan mendesak mengenai pelaksanaan Konvensyen Genosid.
Sehubungan itu katanya, Malaysia wajar mempertimbangkan secara serius untuk menarik balik reservasi yang dibuat ketika negara menyertai konvensyen berkenaan pada tahun 1994.
“Dengan mengekalkan reservasi terhadap Artikel IX, Malaysia secara tidak langsung mengehadkan keupayaan konvensyen ini untuk berfungsi sebagai perlindungan undang-undang sejagat terhadap jenayah genosid,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Artikel IX menyediakan mekanisme undang-undang yang membolehkan pertikaian antara negara mengenai tafsiran dan pelaksanaan konvensyen dirujuk kepada ICJ.
Menurutnya, penyertaan Malaysia melalui intervensi di mahkamah tersebut akan membantu memperkukuh tafsiran undang-undang berkaitan kewajipan negara untuk mencegah genosid serta melindungi penduduk awam daripada pemusnahan sistematik.
“Langkah ini juga mampu meningkatkan tekanan diplomatik dan moral terhadap pihak-pihak yang terlibat supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Pada masa sama, ia mengukuhkan legitimasi ICJ sebagai forum utama penyelesaian pertikaian antarabangsa berkaitan jenayah paling serius terhadap kemanusiaan,” katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut turut menunjukkan bahawa negara-negara Global South termasuk Malaysia bersedia memainkan peranan aktif dalam mempertahankan sistem undang-undang antarabangsa.
“Malaysia selama ini antara negara paling lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin. Menarik balik reservasi terhadap Artikel IX serta memfailkan intervensi di ICJ akan menjadi langkah berprinsip yang mampu menterjemahkan solidariti kepada tindakan undang-undang yang konkrit,” katanya. — Edisi 9

