
Jemaah yang dirahmati Ilahi
Marilah kita tingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan mengerjakan setiap perintah serta menjauhi segala larangan Nya.
Sesungguhnya kemuliaan seseorang insan dinilai daripada ketakwaan; tiada bekalan yang lebih baik untuk akhirat melainkan takwa.
Ketika berada dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Memburu Lailatulqadar: Malam Lebih Baik Daripada Seribu Bulan.”
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah Al-Qadr ayat 1 hingga 3)
Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT, kita telah sampai ke hari dua puluh tiga Ramadan; bererti kita sedang berada dalam sepuluh hari terakhir Ramadan.
Antara ganjaran terbesar anugerah Ilahi dalam bulan Ramadan ialah lailatulqadar, malam kemuliaan dan kebesaran.
Antara kelebihan lailatulqadar adalah:
Pertama: Amal ibadat yang dilakukan pada malam al-Qadar, lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dilakukan pada seribu bulan yang lain; jika dihitung, beramal satu malam pada malam al-Qadar seolah-olah kita beribadah lebih lama daripada 83 tahun 4 bulan.
Kedua: Pada malam tersebut para malaikat dan Jibril AS turun ke bumi membawa rahmat dan keberkatan.
Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratulmuntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
Ketiga: Malam keampunan. Nabi SAW bersabda; bermaksud “Barang siapa mendirikan lailatulqadar dengan keimanan dan mengharap balasan (Allah), maka dia telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Riwayat Al Bukhari)
Oleh sebab itu, Nabi SAW menyeru agar umat baginda bersungguh-sungguh memburu lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir Ramadan berpandukan sabda Nabi SAW :

Maksudnya: “Carilah malam al-Qadar itu pada malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir Ramadan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Para tetamu rumah Allah yang dimuliakan.
Berusahalah untuk menemui lailatulqadar. Jadikan pedoman amalan Rasulullah SAW untuk menemui lailatulqadar.
Rasulullah SAW sebaik masuk sepuluh malam terakhir Ramadan, bersungguh-sungguh melakukan ibadah, menghidupkan malam dengan solat, zikir, dan membaca al-Quran.
Baginda membangunkan ahli keluarga, untuk turut sama merebut kelebihan lailatulqadar.
Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA:

Bermaksud: “Nabi SAW apabila masuknya hari sepuluh terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain (tidak menggauli isteri), menghidupkan malam-malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” (Hadis Riwayat Muslim)
Apakah yang perlu diutamakan pada sepuluh malam terakhir Ramadan:
Pertama: Hidupkan malam dengan qiamullail, bersolat maghrib dan isyak berjemaah, melakukan solat sunat awwabin antara maghrib dan isyak, disusuli solat tarawih, solat hajat, solat taubat, solat tahajud, solat tasbih, diakhiri solat witir; beribadah dengan ikhlas mengabdikan diri sepenuhnya untuk mendapat keredaan Ilahi.
Kedua: Banyakkan membaca al-Quran, mentadaburkan maknanya, serta membasahi lidah dengan zikir untuk menghampirkan hati kepada Allah agar terbuka pintu rahmat dan keampunan.
Ketiga: Banyakkan doa memohon keampunan kerana pada malam tersebut doa sangat mustajab. Rasulullah SAW mengajar doa;

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau sukakan keampunan, maka ampunilah aku”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Keempat: Beriktikaf di masjid, kurangkan percakapan dan urusan dunia yang tidak bermanfaat.
Kelima: Memperbanyakkan amalan kebaikan seperti bersedekah dan menolong orang, terutama mereka yang berada dalam kesusahan dan keuzuran.
Keenam: Jauhi maksiat dan perkara yang melalaikan seperti leka berhibur, melayari media sosial atau lebih mementingkan untuk tidur sepanjang malam.
Ketujuh: Tangguhkan keghairahan sibuk mengutamakan persiapan menyambut hari raya hingga terganggu tumpuan ibadah untuk mendapat kelebihan lailatulqadar.
Jemaah Rahimakumullah.
Lailatulqadar berlaku hanya sekali dalam setahun, merupakan anugerah istimewa Ilahi kepada ummah; oleh itu jangan sama sekali dilepaskan peluang keemasan ini.
Hanya mereka yang bersungguh-sungguh beribadah akan beroleh rahmat lailatulqadar.
Jadikan Ramadan sebagai madrasah perubahan, supaya selepas berakhirnya Ramadan kita terus istiqamah dalam ibadah.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak, 13 Mac 2026

