Tuesday, July 21, 2026

KPM perlu perhebat profesionalisme guru – MASA

Guru bukan sekadar penyampai ilmu, bahkan mereka merupakan arkitek utama dalam merangka dasar pendidikan, membentuk pendekatan pedagogi dan membina budaya pembelajaran progresif

Mesti Baca

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memperhebat usaha memperkukuhkan profesionalisme guru seiring tuntutan pendidikan abad ke-21 yang semakin mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd. Amin berkata, usaha itu boleh digerakkan menerusi inovasi pedagogi, penyediaan infrastruktur digital yang kondusif serta pelaksanaan insentif latihan berterusan yang berfokus kepada keperluan semasa.

Katanya, pendekatan tersebut amat penting khususnya bagi menyokong guru di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan dengan jurang akses teknologi serta kemiskinan digital.

“Guru bukan sekadar penyampai ilmu, bahkan mereka merupakan arkitek utama dalam merangka dasar pendidikan, membentuk pendekatan pedagogi dan membina budaya pembelajaran progresif berteraskan nilai serta realiti semasa.

“Dalam era digital yang pesat berkembang serta kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI), peranan guru menjadi semakin penting untuk melahirkan warganegara berdaya saing, beretika dan berjati diri,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

AZRIL MOHD AMIN

Menurut Azril, meskipun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah menggariskan pelbagai inisiatif seperti Standard Guru Malaysia (SGM) dan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), isu berkaitan kesediaan dan pemerkasaan guru masih belum ditangani secara menyeluruh.

Tegas beliau, keutamaan dasar yang lebih cenderung kepada pencapaian akademik dan kesejahteraan murid tanpa pelaburan mampan dalam pembangunan profesional guru membentuk jurang ketara yang boleh menggagalkan aspirasi reformasi pendidikan negara.

“Malaysia kini berada di ambang transisi penting ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan mampan.

“Oleh itu, isu pembangunan profesionalisme guru wajar dijadikan agenda teras dalam wacana dasar serta pelaksanaan reformasi pendidikan negara,” ujarnya.

Dalam hal ini, katanya, penekanan tidak lagi seharusnya hanya tertumpu kepada bilangan guru atau aspek fizikal semata-mata, tetapi perlu digerakkan ke arah peningkatan mutu pengajaran yang menyeluruh dan berupaya memacu kecemerlangan pelajar secara holistik. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan