SEBANYAK 16 penyelidik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara telah dipilih untuk menerima geran penyelidikan daripada Institut Masa Depan Malaysia (MASA) bagi Program Pembangunan Dasar MASA Kohort-3 (MPDP 3.0).
Pemilihan ini dibuat selepas meneliti 145 cadangan penyelidikan yang dikemukakan oleh para akademik daripada 26 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), sekali gus mencerminkan tahap penyertaan dan minat yang tinggi terhadap pembangunan dasar negara berasaskan bukti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, program berkenaan merupakan kesinambungan kepada kejayaan MPDP yang dimulakan sejak 2021, dan sehingga kini telah menghasilkan 57 kertas dasar berkualiti tinggi.
“MPDP 3.0 menekankan tema Pemerkasaan Bumiputera dan Kemakmuran Bersama, sejajar dengan misi MASA sebagai pusat pemikir nasional yang menyumbang kepada penyelesaian cabaran strategik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara bidang strategik yang menjadi fokus penyelidikan termasuklah kemiskinan multidimensi, ekopelancongan, perancangan bandar lestari, sekuriti makanan, kesihatan awam, ekonomi hijau, keciciran pembelajaran, perlindungan sosial dan pemacuan PMKS melalui model perusahaan sosial.
Setiap penyelidikan terpilih akan menerima geran sehingga RM10,000, bagi menyokong penghasilan dapatan yang mampu menambah nilai kepada dasar sedia ada serta bertindak sebagai semak dan imbang kepada pelaksanaannya.
Program ini juga merupakan manifestasi aspirasi mantan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi MASA, dalam memperkukuh kerangka pembangunan dasar melalui penyelidikan berimpak tinggi.
Kohort ketiga MPDP turut menyokong usaha mengangkat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan penerbitan Laporan Sosioekonomi Bumiputera: Analisis Semasa yang menjadi rujukan penting dalam memahami isu-isu kritikal masyarakat Bumiputera. — Edisi 9

