AKADEMI Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) menerima geran penyelidikan dan tajaan berjumlah RM64,000 daripada Affin Islamic Bank Berhad.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Prof Ir. Dr. Kaharudin Dimyati berkata, sumbangan tersebut merangkumi RM49,000 untuk geran penyelidikan bagi kajian bertajuk The Concept of al-I‘ānah ʿAlā al-Māṣīyah in Shariah and Its Application in Islamic Banking Industry in Malaysia.
Manakala RM15,000 lagi, kata beliau, sebagai tajaan Persidangan Antarabangsa Jurnal Syariah (JSIC) 2025 yang bakal menghimpunkan para cendekiawan Islam dari seluruh dunia.
“Kolaborasi seperti ini bukan sahaja menyokong agenda universiti sebagai institusi penyelidikan terunggul, bahkan membuka ruang baharu dalam menjana pengetahuan yang bersifat aplikasi dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri kewangan Islam tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan mock cheque oleh Affin Islamic Bank kepada APIUM di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama Dekan APIUM, Prof Dr Mohd Fauzi Hamat dan Ketua Jabatan Strategi dan Operasi Affin Islamic Bank, Jozaimah Johan Ali.
Kaharudin berkata, geran penyelidikan tersebut akan memfokuskan kepada isu al-ʿIānah ʿAlā al-Māṣīyah iaitu satu konsep yang sering dibahaskan dalam muamalat kontemporari.
Kajian tersebut, jelas beliau, akan memberi sumbangan dalam bentuk penambahbaikan aplikasi kontrak muamalat Islam, khususnya dalam ekosistem kewangan Islam di Malaysia yang bersifat dwiperbankan.
Beliau berkata, kajian tersebut akan dilaksanakan oleh pakar penyelidik dari Jabatan Syariah dan Ekonomi, Jabatan Syariah dan Pengurusan serta Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM.
Mengenai JSIC, Kaharudin berkata, ia akan dianjurkan oleh Jurnal Syariah, iaitu salah satu jurnal yang menerbitkan kajian akademik dalam bidang syariah dan isu-isu kontemporari.
“Kerjasama ini mencerminkan iltizam bersama antara APIUM dan Affin Islamic Bank dalam memperkasa penyelidikan syariah yang berimpak tinggi serta memacu inovasi kewangan Islam yang beretika, telus dan lestari,” katanya. – Edisi 9

