PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengurangkan tarif import daripada 25 peratus kepada 19 peratus terhadap Malaysia.
Perkembangan positif itu diumumkan Trump dalam perintah eksekutif yang ditandatanganinya, semalam.
Dokumen yang menyenarai pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 telah dimuat naik di laman sesawang White House.
Semalam, Trump mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung situasi serantau semasa selain isu tarif di mana Anwar menegaskan pendirian Malaysia berdasarkan prinsip perdagangan bebas yang telah menjadi antara dasar Malaysia.
Susulan perbincangan melalui perbualan telefon itu, Trump dilaporkan bersetuju mengumumkan kadar tarif keesokan hari (hari ini).
Sebelum ini Malaysia dikenakan tarif import sebanyak 24 peratus sebelum dinaikkan kepada 25 peratus namun tarif baharu yang diumum Trump sekali gus menutup mulut pengkritik Anwar sebelum ini.
Negara-negara yang masih belum memeterai perjanjian perdagangan atau menerima notis tarif daripada pentadbiran Trump akan menerima makluman rasmi daripada AS selewat-lewatnya tengah malam Khamis, menurut kenyataan White House.
AS telah mencapai perjanjian baharu dengan Korea Selatan, termasuk tarif 15 peratus, pembelian tenaga bernilai AS$100 bilion dan pelaburan AS$350 bilion dalam industri AS.
Rundingan dengan China masih berjalan, dengan sasaran mengurangkan defisit perdagangan AS sebanyak AS$5 bilion dan saluran komunikasi kekal terbuka.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, pasukan perdagangan AS bekerja tanpa henti untuk berhubung dengan sebanyak mungkin negara.
“Lebih 200 negara telah menghubungi pasukan perdagangan dan tarif kami. Kami utamakan rakan dagang utama, dan dua pertiga daripada 18 negara utama telah pun menandatangani perjanjian khas.
“Bagi negara yang belum menerima makluman, mereka akan terima surat atau perintah eksekutif sebelum tengah malam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Leavitt turut mengumumkan bahawa AS telah mencapai perjanjian perdagangan baharu dengan Korea Selatan selepas rundingan di White House pada Rabu.
Di bawah perjanjian itu, Korea Selatan akan dikenakan tarif sebanyak 15 peratus, termasuk ke atas sektor automotif.
Korea Selatan bersetuju memberikan konsesi besar kepada barangan AS seperti beras dan tenaga.
Komitmen untuk membeli tenaga AS bernilai AS$100 bilion (RM427 bilion) menjelang 2028.
Pelaburan sebanyak AS$350 bilion (RM1.5 trilion) dalam industri AS, dengan 90 peratus keuntungan disalurkan kepada kerajaan AS untuk mengurangkan hutang negara dan menyokong dasar pentadbiran semasa.
Leavitt turut memaklumkan bahawa rundingan perdagangan dengan China masih berlangsung dengan kemajuan positif. — Agensi

