Tuesday, July 21, 2026

Lebih RM1 bilion SARA Untuk Semua telah dimanfaatkan – MoF

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jualan pada hari pertama pelaksanaan SARA untuk Semua pada tahun ini mencecah RM97 juta.

Mesti Baca

LEBIH 12.5 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua melibatkan RM1 bilion bagi pembelian barangan keperluan asas sejak diumumkan tinga minggu lalu.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jualan pada hari pertama pelaksanaan SARA untuk Semua pada tahun ini mencecah RM97 juta.

Beliau berkata, jumlah tersebut hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama tahun lalu.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MoF) telah memastikan kelancaran sistem bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.

“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan program tersebut memudahkan rakyat memanfaatkan bantuan bersasar, di samping memastikan penyaluran yang cekap dan terurus.

Kata beliau, ini jelas terbukti dengan penggunaan kredit RM100 di bawah SARA Untuk Semua yang telah mencecah 56 peratus pengguna manakala baki kredit masih sah digunakan sehingga 31 Disember tahun ini.

“Dari segi taburan geografi, kadar penggunaan SARA Untuk Semua setakat ini menunjukkan kadar lebih tinggi di Zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

Negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kadarpenebusan antara yang tertinggi termasuk Sabah (70 peratus), Perlis (65 peratus). Kelantan (64 peratus), Labuan (64 peratus), Terengganu (63 peratus), Kedah (63 peratus), Sarawak (62 peratus) dan Pahang (60 peratus).

Beliau berkata, selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, program SARA turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya di peringkat komuniti. 

“Bilangan Rakan Niaga SARA kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara, selain rangkaian pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang penghujung tahun 2026, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000. 

Peningkatan tersebut, kata beliau, dijangka mengurangkan jarak purata ke premis penerimaan SARA kepada sekitar 7 kilometer berbanding 10 kilometer ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan