PEMUDA UMNO hari ini mendesak pucuk pimpinan parti agar membuat keputusan menarik diri daripada menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.
Beliau berkata, pengunduran UMNO, jika berlaku, tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan sedia ada kerana mereka mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.
Jelas beliau, penarikan diri UMNO bertujuan untuk memperkukuhkan semula parti itu demi masa depan.
“Biarlah kita setapak ke belakang untuk melihat jauh pada masa akan datang. Ahli Parlimen yang hadir ini takutkah menjadi Ahli Parlimen pembangkang?
“Kita tak nak merampas kuasa dari pintu belakang. Kamu pimpinlah negara ini, kita jadilah pembangkang setahun dua tahun ini… kita kuatkan semula orang Melayu,” katanya berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Susulan itu, Dr Akmal menggesa UMNO untuk segera membentuk penyatuan dengan Pas yang berpaksikan kepada komitmen menjaga serta melindungi agama dan bangsa.
Beliau menekankan bahawa penyatuan Melayu serta ummah itu perlu dijayakan, bermula dengan penggabungan dua parti Melayu yang terbesar di negara ini, iaitu UMNO dan Pas.
“Maka, sudah tiba masanya untuk penyatuan orang Melayu di tanah air kita. Penyatuan ini mestilah dimulakan oleh dua parti terbesar orang Melayu.
“Sebab kalau parti kecil campur yang besar, tidak boleh jadi… betul tak? Orang Melayu akan tetap berpecah. Jadi, dua parti terbesar ini ialah UMNO dan PAS… mesti menjadi pelopor utama penyatuan ini.
“Saya percaya dengan penyatuan UMNO-Pas, insya-Allah, orang Melayu akan kembali bertaut dan bersatu semula,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pimpinan parti khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendengar suara akar umbi demi memastikan maruah UMNO tidak terus dicabar.
Beliau berkata, Pemuda UMNO akan membawa pendirian dari konvensyen khas itu ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadualkan berlangsung 14 hingga 17 Januari ini.
“Insya-Allah, (pendirian) kita diabsahkan dalam PAU. Insya-Allah, impian kita untuk melihat Melayu bersatu, kita keluar daripada kerajaan ini, akan terlaksana,” katanya.

