SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius isu penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform media sosial dengan memanipulasi imej kanak-kanak dan wanita bagi menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau serta memudaratkan menerusi platform X.
Menurut MCMC, isu tersebut bukan sahaja melibatkan pelanggaran undang-undang, malah memberi kesan besar terhadap keselamatan dalam talian, maruah individu dan kesejahteraan kanak-kanak.
“MCMC akan memulakan siasatan terhadap pengguna X yang disyaki melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini MCMC menerima aduan daripada orang awam berhubung penyebaran kandungan tidak senonoh menggunakan AI menerusi platform X.
MCMC berkata, penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan sedemikian merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).
Katanya, akta tersebut melarang penggunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi bagi tujuan menghantar kandungan lucah, sumbang atau jelik melampau.
MCMC turut mengingatkan bahawa penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) mewajibkan platform dalam talian dan penyedia perkhidmatan berlesen mengambil langkah pencegahan.
Katanya ini bagi menghalang penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk bahan lucah, tidak senonoh serta kandungan penderaan seksual kanak-kanak.
“Walaupun X bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini, platform tersebut tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan,” katanya.
MCMC turut memaklumkan pihaknya kini sedang menyiasat tahap kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform X dan akan memanggil wakil platform berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Sehubungan itu, semua platform digital yang boleh diakses di Malaysia digesa supaya melaksanakan mekanisme perlindungan yang lebih ketat.
Ini selaras dengan undang-undang tempatan dan piawaian keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan fungsi AI, chatbot serta aplikasi manipulasi imej.
Orang ramai dan mangsa turut dinasihatkan supaya melaporkan sebarang kandungan memudaratkan kepada platform terlibat serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian MCMC. — Edisi 9

