Tuesday, July 21, 2026

Keputusan Konvensyen Khas Pemuda perlu dibawa ke MKT, PAU

Sebarang keputusan besar melibatkan hala tuju parti tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh mana-mana sayap parti.

Mesti Baca

SEBARANG keputusan yang dibuat dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia berhubung kedudukan parti dalam kerajaan perpaduan perlu dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk dibincang dan diputuskan.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, sebarang keputusan besar melibatkan hala tuju parti tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh mana-mana sayap parti.

“Segala keputusan perlu dibincangkan di dua platform utama UMNO iaitu Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO.

“Kita semua sedia maklum terdapat dua majlis besar parti yang akan berlangsung pada Januari dengan Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan dari 14 hingga 17 Januari ini,” katanya selepas Program Cakna Ilmu Tanah di Kampung Parit Dato Onn, Pontian, Johor hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan, apa juga cadangan termasuk yang dicetuskan oleh Pemuda UMNO ketika ini perlu dibawa dan dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat MKT sebelum diputuskan oleh PAU.

“Saya pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO.

“Saya amat memahami bahawa hala tuju parti, sama ada mahu kekal seperti sedia ada atau membuat perubahan, hanya boleh ditentukan oleh MKT dan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

Konvensyen Khas yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini dijadikan platform untuk membincang, meneliti dan membuat keputusan mengenai hala tuju parti, khususnya berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu dicetuskan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh susulan perkembangan politik yang berlaku dalam negara sejak akhir tahun lalu. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan