
SETIAP kali UMNO berdepan dengan krisis, perbincangan awam hampir pasti tertumpu kepada persoalan individu: siapa patut memimpin, siapa perlu berundur, siapa lebih layak mengambil alih.
Tumpuan yang berlebihan terhadap personaliti ini sering mengaburkan persoalan yang lebih penting iaitu “ke mana sebenarnya UMNO mahu dibawa?”
Kalau dilihat sebenarnya UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin dan kenyataannya, dari peringkat pusat hingga akar umbi, UMNO masih mempunyai barisan tokoh berpengalaman, berpendidikan dan memahami realiti politik tanah air.
Namun tanpa kejelasan arah, kehadiran ramai pemimpin hanya mencipta lebih banyak suara dan bukannya membawa haluan yang satu.
Penulis melihat masalah sebenar UMNO hari ini ialah kekaburan identiti politiknya dalam landskap baharu.
Apakah UMNO mahu dilihat sebagai parti reformis, parti tradisional yang diperkemas, atau sekadar parti survival?
Selagi persoalan ini tidak dijawab dengan jujur maka bertukarlah siapa pemimpin pun, mereka hanya akan mengulangi kitaran yang sama.
Kejelasan arah ini bukan hanya slogan setiap kali persidangan atau dalam manifesto pilihan raya sebaliknya ia keselarasan antara apa yang dikatakan, apa yang dilakukan dan apa yang dipertahankan ketika diuji.
Tanpa keselarasan ini, UMNO akan terus dilihat tidak konsisten: hari ini tegas, esok berkompromi, lusa berundur.
Pengundi hari ini lebih matang. Mereka boleh menerima keputusan sukar, tetapi sukar menerima keputusan yang berubah-ubah.
Dalam konteks ini, UMNO bukan kalah kerana kekurangan tokoh tetapi kerana gagal menawarkan naratif masa depan yang meyakinkan.
Jika UMNO benar-benar mahu bangkit, fokus mereka perlu dialihkan daripada perebutan individu kepada pembinaan hala tuju bersama. Apabila hala tuju parti sudah jelas, maka siapa pun yang akan menakhodainya pasti akan tahu haluannya.
Tanpa kejelasan arah, UMNO akan terus berlegar dalam perdebatan dalaman yang tidak berkesudahan, sementara landskap politik negara bergerak tanpa menunggunya.
Justeru, langkah Pemuda UMNO Malaysia mengadakan Konvensyen Khas hari ini adalah langkah permulaan ke arah mencari hala tuju baharu UMNO setelah dilihat hanyut sejak tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Mengubah wajah tanpa mengubah haluan hanya melambatkan kejatuhan, bukan mencegahnya. — Edisi 9

