SUDAH menjadi adat seseorang itu akan menilai satu perkara sama ada ia baik atau buruk daripada pandangan luaran tanpa mengkaji dengan teliti sama ada perkara itu benar-benar baik atau buruk. Begitulah juga dengan Islam.
Mungkin dalam kalangan penganutnya sendiri mengetahui bahawa agama Islam ini adalah agama yang haq namun tidak sedikit juga daripada kalangan Muslim sendiri masih ada keraguan terhadap kebenaran Islam tetapi itu bukan fokus dalam penulisan ini.
Tumpuan dalam penulisan ini adalah berdasarkan persepsi masyarakat terhadap agama Islam.
Penilaian masyarakat terhadap Islam terjadi apabila mereka memerhatikan gerak-geri dan tingkah laku umat Islam itu sendiri. Hal ini membuktikan setiap tindakan, tutur kata dan sikap umat Islam adalah cerminan kepada nilai Islam yang sebenar.
Benar, mereka tidak sepatutnya menilai Islam daripada luaran sahaja berdasarkan tingkah laku penganutnya.
Namun itu sudah menjadi lumrah setiap manusia apabila ingin menghukum sesuatu perkara sama ada benar atau salah, ia akan menilai daripada segi luarannya dahulu.
Apabila hati mereka sudah terpaut pada unsur luarannya barulah usaha mendalami untuk mengenalinya secara hakikatnya akan berlaku.
Pada hakikatnya, Islam bukan sekadar agama ritual bahkan ia adalah panduan gaya hidup.
Hidup berlandaskan syariat yang memandu manusia hidup berlandaskan fitrah seorang manusia yang bertujuan mencari reda Ilahi dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Keindahan Islam terletak pada pekerti yang mulia, kejujuran, amanah serta kasih sayang sesama manusia.
Rasulullah SAW diutuskan bukan semata-mata untuk menyampaikan wahyu tetapi untuk menjadi contoh teladan daripada aspek akhlak bagi menarik hati manusia kepada Islam.
Oleh itu, mencontohi akhlak Baginda SAW adalah kewajiban bagi setiap individu Muslim dalam setiap aspek kehidupan, sama ada dalam pekerjaan, muamalah dengan manusia walaupun di dalam media sosial.
Tanpa kita sedari, telah muncul satu tanggungjawab yang besar di atas bahu setiap Muslim. Tanggungjawab itu adalah menjaga imej baik Islam.
Sekilas pandang, perkara ini nampak ringan namun jika diperhatikan dengan betul ia membawa satu impak yang besar terhadap agama kita.
Menjaga imej Islam bermakna menolak segala bentuk kezaliman, penindasan dan ketidakadilan.
Dalam sejarah jelas menunjukkan bahawasanya Rasulullah SAW dan para sahabat ketika memerintah sangat mementingkan nilai kemanusiaan sejagat.
Jika nilai-nilai ini gagal digalas dengan baik oleh masyarakat Muslim sekarang ia akan menimbulkan persepsi dan perspektif yang buruk terhadap Islam.
Justeru, setiap pemimpin, institusi dan masyarakat perlu menggembleng tenaga dan usaha untuk menjaga imej baik Islam melalui dasar, tindakan dan komunikasi mereka.
Namun, cabaran menjaga imej Islam di zaman moden ini sangat sukar pancarobanya.
Media sosial menjadi medan menabur fitnah, berperilaku kasar atau bermuamalah tanpa adab dan etika telah mencalarkan persepsi terhadap agama ini.
Mereka tidak meneliti al-Quran dan Hadis untuk mengetahui gambaran Islam, tetapi mereka melihat pada tingkah laku dan keperibadian yang ditonjolkan penganutnya.
Justeru, telah menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk menunjukkan contoh yang baik untuk membina persepsi yang baik masyarakat terhadap agama Islam.
Usaha menjaga imej baik Islam ini bukan sahaja untuk menimbulkan perspektif yang baik terhadap agama Islam tetapi sebagai salah satu jalan dakwah juga kepada orang bukan Islam.
Tugas dakwah bukan sahaja terhad kepada ulama’ dan pendakwah sahaja tetapi tanggungjawab setiap Muslim.
Persembahan akhlak yang murni dan keperibadian yang gemilang akan menggemilangkan imej Islam.
Sejarah telah membuktikan bahawa kemuliaan budi pekerti Rasulullah SAW menjadi tonggak kecemerlangan Islam di suatu ketika dahulu.
Seperti sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia menjadi asas kepada keindahan Islam yang sebenar. Bukan pada slogan, namun pada perbuatan yang mencerminkan cahaya keimanan.
Akhirnya, setiap individu Muslim mempunyai peranan masing-masing dalam menjaga imej Islam dan dalam masa yang sama berdakwah kepada mereka yang belum menemui cahaya Islam.
Dakwah tidak semestinya perlukan kepada menghafal 30 juz’ Al-Quran, mengingat ribuan hadis dan petah bercakap, namun daripada persembahan akhlak yang mulia juga boleh menjadi wasilah dakwah supaya agama Islam terus berkembang dan terbilang. – Oleh AHMAD LUQMAN ABD KARIM (Universiti Malaya)

