Wednesday, July 22, 2026

Malaysia digesa keluarkan bantahan rasmi terhadap Israel

Menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza memperlihatkan sikap angkuh yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan sejagat - Pemuda UMNO

Mesti Baca

KERAJAAN Malaysia digesa segera mengeluarkan bantahan rasmi terhadap Israel melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa lain berhubung tindakan kejam zionis Israel yang menghalang bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dan menahan para aktivis dan sukarelawannya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, kerajaan Malaysia juga perlu menggerakkan usaha diplomatik mendesak bagi menjamin keselamatan, pembebasan segera dan kepulangan selamat warganegara Malaysia yang ditahan.

Pada masa yang sama, Pemuda UMNO juga menggesa satu siasatan antarabangsa yang bebas ditubuhkan segera untuk menyiasat insiden ini, serta menyeru Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) agar meneliti tindakan Israel sebagai kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Kami mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan, tidak sah di sisi undang-undang dan penuh penghinaan ini oleh Israel.

“Menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku serta memperlihatkan sikap angkuh yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan sejagat,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berikut kenyataan penuh Pemuda UMNO Malaysia berhubung isu tersebut:

  1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang telah memintas serta menahan Global Sumud Flotilla, termasuk warganegara Malaysia dan aktivis antarabangsa, di perairan antarabangsa ketika mereka dalam misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan ke Gaza.
  2. Tindakan ini jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa. Di bawah Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS, 1982), semua kapal awam di laut lepas mempunyai hak kebebasan belayar dan tidak boleh diganggu atau dirampas kecuali dalam keadaan tertentu seperti lanun, penyeludupan dadah atau jika kapal tidak berdaftar. Flotila ini adalah kapal sah dengan misi kemanusiaan, justeru tindakan Israel memintas di perairan antarabangsa adalah tidak sah.
  3. Selain itu, tindakan menghalang bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik juga bercanggah dengan Konvensyen Geneva 1949 serta Protokol Tambahan I (1977), yang secara jelas menetapkan bahawa semua pihak wajib membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang memerlukan tanpa sebarang halangan.
  4. Oleh itu, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia segera mengeluarkan bantahan rasmi terhadap Israel melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa yang relevan, serta menggerakkan usaha diplomatik mendesak bagi menjamin keselamatan, pembebasan segera dan kepulangan selamat warganegara Malaysia yang ditahan.
  5. Kami menggesa agar satu siasatan antarabangsa yang bebas ditubuhkan segera untuk menyiasat insiden ini, serta menyeru Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) agar meneliti tindakan Israel sebagai kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
  6. Kami mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan, tidak sah di sisi undang-undang dan penuh penghinaan ini oleh Israel. Menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku serta memperlihatkan sikap angkuh yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan sejagat.
  7. Sama-sama kita panjatkan doa kepada kesemua aktivis termasuk 13 orang dari Malaysia, yang mana 8 daripadanya telah ditahan oleh IDF, agar mereka tidak diapa-apakan dan dapat segera dibebaskan. Kegagalan untuk segera respon menyelamat, adalah tanda kegagalan dan tunduk terhadap tindakan rejim Zionis ini. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan