PEMUDA UMNO Malaysia menegaskan bahawa parti itu tidak boleh terus berada dalam keadaan penafian atau “denial syndrome” terhadap realiti sokongan rakyat.
Sebaliknya, tegas Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh, UMNO perlu berani membuat keputusan sukar demi memastikan kelangsungan perjuangan parti pada masa hadapan.
Beliau berkata, tanggungjawab merupakan asas utama yang membezakan antara mereka yang sekadar memegang jawatan dengan mereka yang benar-benar memikul amanah perjuangan, khususnya dalam keadaan UMNO berdepan krisis kepercayaan rakyat.
Menurut beliau, UMNO tidak dibina atas kuasa semata-mata, sebaliknya atas kepercayaan rakyat yang lahir daripada kejelasan prinsip mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Namun hakikatnya, walaupun UMNO berada dalam kerajaan hari ini, kepercayaan rakyat belum pulih sepenuhnya, malah akar umbi semakin resah dan keliru terhadap arah perjuangan parti.

“Menjadi kerajaan hari ini tidak menjamin kemenangan esok. Jika krisis kepercayaan ini terus dibiarkan, jika suara akar umbi terus dipendam, maka jangan terkejut sekiranya pada PRU (pilihan raya umum) akan datang, rakyat memilih untuk tidak lagi memberi kepercayaan kepada UMNO,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Pemuda UMNO Malaysia 2025 hari ini.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO menegaskan peranannya sebagai ‘loceng kecemasan’ kepada parti agar suara akar umbi tidak dipendam dan pandangan kritikal tidak disenyapkan atas nama keselesaan politik.
Mengulas kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, Dr Akmal berkata, Pemuda UMNO sebelum ini telah mendesak agar sokongan ditarik, namun akur dengan keputusan parti.
Bagaimanapun, katanya, Pemuda berpandangan keputusan tersebut masih wajar dinilai dan direnung semula secara matang demi maruah dan masa depan UMNO.
“Pemuda sekali lagi menyuarakan pandangan ini bukan untuk mencabar tetapi untuk direnungkan dan dibahaskan secara lebih mendalam oleh para perwakilan.
“Bagi Pemuda UMNO. kuasa perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO adalah kuasa yang paling tinggi. Dan setiap suara yang lahir daripada perbahasan yang jujur dan beradab, suara itulah yang akan menentukan hala tuju parti ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO menegaskan komitmen sebagai wadah suara akar umbi dan mengemukakan rekod kemenangan di beberapa pilihan raya kecil serta pilihan raya negeri sebagai bukti pendekatan berasaskan kerja lapangan dan prinsip mampu mengembalikan kepercayaan rakyat.
Antara kejayaan yang diketengahkan termasuk kemenangan di Nenggiri, Mahkota, Ayer Kuning serta kerusi Kunak di Sabah yang disifatkan sebagai bukti keupayaan Pemuda UMNO memimpin jentera pilihan raya walaupun di kawasan berisiko tinggi.
Beliau turut menyentuh mengenai kewujudan ‘musuh nyata’ dalam landskap politik semasa yang berulang kali mencabar sensitiviti Islam, Melayu dan institusi negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dalam mempertahankan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bila Pemuda UMNO bersuara, jangan ajar kami tentang sopan. Jangan cakap kami rasis, jangan tuduh kami ekstrim. Kami tahu apa yang kami buat. Pertahankan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan bukannya rasis tapi yang mempertikaikan Perlembagaan, itulah yang sebenarnya rasis,” katanya.
Dalam konteks penyatuan orang Melayu, Pemuda UMNO menegaskan bahawa usaha tersebut mesti bermula dengan penyatuan UMNO dari dalam, termasuk membuka semula pintu kepada mereka yang pernah disisihkan tetapi masih setia kepada perjuangan parti.
Beliau turut mengemukakan gagasan ‘Tekad Ummah’ sebagai usaha menyatukan kekuatan politik Melayu, khususnya melibatkan UMNO dan Pas, dengan menegaskan bahawa penyatuan bangsa tidak boleh dicapai melalui jalan mudah atau zon selesa.
Sebagai langkah konkrit, Pemuda UMNO mengumumkan hasrat untuk menganjurkan Himpunan Tekad Ummah yang melibatkan parti politik Melayu, badan bukan kerajaan, ahli akademik dan masyarakat sivil bagi menjadikan penyatuan ummah sebagai agenda nasional.
Menutup ucapan, beliau menegaskan Pemuda UMNO memilih jalan sukar bukan kerana keras kepala, tetapi kerana enggan mewariskan masalah yang gagal diselesaikan hari ini kepada generasi akan datang.
“Pemuda UMNO tidak berjuang untuk keselesaan hari ini, tetapi untuk memastikan perjuangan ini masih bernyawa pada hari esok,” katanya. — Edisi 9

