AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenakan kompaun sebanyak RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. susulan pelanggaran peruntukan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
APAD dalam satu kenyataan berkata, tindakan punitif itu diputuskan melalui Kementerian Pengangkutan selepas siasatan mendapati pengendali rel berkenaan gagal memastikan tahap keselamatan operasi sebagaimana ditetapkan.
Menurut APAD, tindakan tersebut diambil susulan insiden pada 12 Disember 2024 kira-kira pukul 3.36 pagi di Depoh Subang milik syarikat berkenaan apabila sebuah jentera shunting gagal berfungsi dengan sempurna akibat ketidakpatuhan terhadap garis panduan penyelenggaraan yang ditetapkan oleh pihak pengeluar peralatan asal (OEM).
“Kegagalan sistem brek jentera berkenaan telah menyebabkan pelanggaran dengan jentera Speeder 3.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan satu kematian dan tiga kecederaan melibatkan kakitangan Rapid Rail selain kerosakan serius terhadap Jentera Grinder, Speeder 3 dan Shunting dengan anggaran kerugian berjumlah RM574,550,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah APAD, hasil siasatan mendapati Rapid Rail selaku pengendali berlesen gagal memastikan jajaran serta jentera kereta api berada dalam keadaan selamat untuk pengoperasian, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta 715.
Menurut agensi itu, di bawah Seksyen 101(10) akta sama, pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
APAD menegaskan keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
“Tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja sebagai langkah pematuhan undang-undang, malah sebagai peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan rel agar sentiasa memastikan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal yang ditetapkan serta latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan yang terlibat,” katanya.
Menurut APAD lagi, keputusan mengekalkan kompaun tersebut turut mengambil kira kepentingan awam serta prinsip akauntabiliti bagi memastikan integriti sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara.
Agensi itu menambah, pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan, operasi dan standard keselamatan yang ditetapkan. – Edisi 9

