SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan siasatan turut dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] terhadap individu yang memuat naik kandungan menghina al-Quran di platform media sosial Threads.
MCMC berkata, tindakan itu diambil susulan penularan satu kandungan dimuat naik menggunakan akaun bernama “ryandaselva” yang memaparkan perbuatan memijak al-Quran, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat serta kebimbangan terhadap keharmonian awam.
“Kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MCMC berkata, pihaknya mengambil keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam bagi melengkapkan siasatan.
Tambah MCMC, siasatan dijalankan selari dengan siasatan polis yang telah dimulakan sebelum ini bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil mengikut undang-undang sedia ada.
Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara.
Tegas MCMC, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan masyarakat berbilang kaum di negara ini. — Edisi 9

