
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk “Lali Dengan Dosa, Lupa Pada Pencipta.”
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Islam adalah agama yang syumul, menekankan kesucian jiwa dalam setiap aspek kehidupan. Kesucian jiwa inilah yang melahirkan insan bertakwa, berakhlak mulia, dan taat kepada syariat Allah SWT.
Kehidupan kita juga dipandu oleh Maqasid Syariah: menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Halal dan haram menjadi pembeza antara orang beriman dan orang yang ingkar.
Mereka yang mengabaikan syariat mudah terjerumus ke lembah kemaksiatan yang merosakkan diri dan masyarakat.
Justeru menjadi kewajipan utama bagi setiap orang beriman untuk memelihara diri daripada segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan dalam kehidupan seharian sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ruum ayat 41 yang telah dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Dalam kehidupan hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang boleh merosakkan akal, jiwa dan akhlak manusia.
Antaranya ialah perkara-perkara yang memabukkan dan melalaikan seperti ketagihan dadah, ketum, gam, pil khayal, rokok, vape, racun moden serta bahan-bahan baharu seperti gummy bear dan magic mashroom yang dicampur dengan dadah.
Bahan-bahan ini bukan sahaja merosakkan akal dan tubuh, malah menjadikan hati kosong dan jauh daripada rahmat Allah SWT.
Apabila hubungan dengan Allah SWT terhakis, hubungan sesama manusia turut rosak.
Jenayah berlaku, tanggungjawab keluarga terabai, dan silaturrahim putus angkara dadah durjana.
Ramai anak muda yang berpotensi menjadi pemimpin akhirnya tersungkur menjadi hamba ketagihan.
Ahli keluarga pula menderita kerana orang yang diharapkan menjadi pelindung menjadi pemusnah keluarga.
Sudah terang lagi bersuluh, bahan-bahan yang merosakkan akal menjadi punca kerosakan diri, keluarga, dan masyarakat.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma’idah ayat 90:

Maskudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama memerangi dadah dengan iman, ilmu, dan kasih sayang.
Bagi ibu bapa, pedulilah keluarga kita. Selalulah bertanya khabar mereka.
Sentiasa cakna akan tanda-tanda awal bahaya seperti perubahan tingkah laku, perubahan fizikal dan emosi serta pergaulan anak-anak.
Buat anak muda pula, janganlah terpedaya dengan kenikmatan sementara yang akhirnya memusnahkan seluruh masa hadapan.
Kalau ketenangan yang dicari, baliklah kepada agama, bina hubungan dengan Allah dan carilah aktiviti yang bermanfaat.
Jagalah pergaulan dan bijak memilih kawan yang sentiasa mendorong kepada jalan kebaikan dan bukannya yang merosakkan diri dan masa depan kita.
Penyalahgunaan dadah bukan sekadar masalah undang-undang, tetapi jeritan hati yang memerlukan rawatan, iman, dan kasih sayang.
Kerajaan telah membuka peluang kepada penagih dan penyalah guna dadah dan bahan bukan tradisional seperti ketum, gam, dan bahan psiko aktif untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela di mana-mana pusat pemulihan AADK.
Sebagai masyarakat prihatin, kita pula harus sentiasa terbuka jika ada di kalangan mereka yang ingin bertaubat.
Berilah peluang kedua dengan membantu mereka kembali kepada kehidupan yang tenang dan tenteram.
Jadikan rumah menjadi benteng iman, setiap bapa pemimpin yang membimbing anak, dan setiap masjid menjadi tempat sokongan pemulihan.
Bimbinglah mereka ke masjid, ajak mereka solat dan membuat kebaikan bersama, sokong kehidupan sosial dengan memberi peluang pekerjaan, berilah harapan bahawa pintu taubat masih terbuka seluasnya bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Anas bin Malik radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”
Kemenangan sebenar bukan hanya apabila penagih berhenti, tetapi apabila masyarakat berubah: dari menghina kepada membantu, dari menolak kepada memulihkan.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kita iaitu:
Pertama: Umat Islam hendaklah memelihara akal yang merupakan salah satu Maqasid Syariah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bertujuan memandu kehidupan manusia ke jalan yang benar.
Kedua: Umat Islam perlu sedar apabila seseorang terjebak dengan dadah, kesannya bukan hanya pada dirinya sendiri tetapi kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Oleh itu, setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan yang tersendiri dalam menangani ancaman ini.
Ketiga: Masyarakat hendaklah sedar bahawa kerajaan sentiasa terbuka untuk membantu mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan.
Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar ayat 53:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 17 April 2026 bersamaan 28 Syawal 1447.

