Friday, June 12, 2026

NADI diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital ITU ke-16 dunia

Membuktikan komitmen Malaysia dalam memperluaskan keterangkuman digital, khususnya kepada komuniti luar bandar dan golongan yang kurang mendapat akses kepada teknologi.

Mesti Baca

MALAYSIA terus mencatat kemajuan dalam agenda pendigitalan negara apabila Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara rasmi diterima sebagai ahli Pusat Transformasi Digital di bawah rangkaian Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU-DTC).

Majlis pengiktirafan yang berlangsung di NADI Kubang Semang, Permatang Pauh telah disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi MCMC serta Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Menurut MCMC, pengiktirafan itu menjadikan NADI sebagai pusat ke-16 di dunia dalam rangkaian global ITU-DTC, sekali gus membuktikan komitmen Malaysia dalam memperluaskan keterangkuman digital, khususnya kepada komuniti luar bandar dan golongan yang kurang mendapat akses kepada teknologi.

“Melalui keahlian ini, MCMC menyasarkan untuk melatih 180,000 orang usahawan melalui 18 modul yang disediakan di 1,099 NADI di seluruh negara. 

“Selain itu, NADI turut mendapat akses kepada modul latihan antarabangsa daripada rakan strategik global seperti Cisco Systems, sekali gus memperkukuh kualiti latihan dan keupayaan tenaga pengajarnya,” kata kenyataan itu hari ini.

MCMC berkata, keahlian itu juga membuka ruang kepada pensijilan digital bertaraf global untuk rakyat Malaysia, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran bakat tempatan dalam ekonomi digital. 

“Pelaksanaan inisiatif ini tidak melibatkan pertambahan kos kepada kerajaan kerana ia memanfaatkan kerjasama strategik antarabangsa sedia ada,” katanya.

MCMC berkata, pencapaian itu melengkapkan satu lagi kejayaan penting NADI selepas menerima pengiktirafan World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 dalam kategori Capacity Building hasil pelaksanaan program berimpak tinggi di NADI Pulau Banggi, Sabah.

Ini sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan Malaysia dalam memperkasa komuniti melalui teknologi digital.

Pengiktirafan antarabangsa ini selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, dan MCMC komited untuk terus memperkukuh peranan NADI sebagai platform pembangunan komuniti digital negara. 

Dengan penyertaan dalam rangkaian ITU-DTC, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai peneraju keterangkuman digital di rantau Asia Pasifik serta memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam arus pembangunan digital negara. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan