HARI Raya Aidilfitri tahun ini memang lain daripada yang lain.
Memandangkan kita masih lagi berperang dengan COVID-19, tak dapatlah nak beraya sakan.
Semuanya dibuat dalam serba sederhana lebih-lebih lagi bagi mereka yang terjejas dari segi ekonomi.
Ada dalam kalangan kita yang terpaksa berjauhan dari insan-insan tersayang sebab dah tak boleh rentas negeri.
Kalau jiwa tak berapa kental, boleh banjir mata semasa pagi raya.
Lebih-lebih lagi bila terdengar lagu-lagu raya tangkap leleh yang berkumandang di udara.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, Edisi 9 menghimpunkan koleksi lima lagu raya yang pasti menggamit nostalgia kita.
Walaupun lagu-lagu ini ada yang sudah lama digubah, iramanya tetap segar sepanjang zaman.
Contohnya lagu ‘Dendang Perantau’ yang dinyanyikan oleh Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Memang mantop, sampai bila-bila pun kita tak jemu mendengarnya.
Sampai boleh terbayang-bayang kita sedang duduk lepak di atas pangkin di pinggiran sawah sambil menikmati angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Lagu ‘Suasana Riang Di Hari Raya’ dendangan Junainah M. Amin pun syok juga.
Teringat semasa kecil dulu pergi beraya ramai-ramai keliling kampung.
Masuk hari raya kedua, perut meragam sebab kembung, banyak sangat minum air oren botol.
Kalau tak mau sedih-sedih, boleh layan lagu ‘Selamat Hari Raya’ yang dipopularkan oleh Allahyarham Puan Sri Saloma.
Walaupun rentaknya agak ceria, nilai nostalgia lagu ini tetap tinggi.
Terkenang-kenang keenakan rendang dan lontong masakan arwah ibu yang dah lama pergi.
Bagi mereka yang melalui zaman kanak-kanak sekitar 1980-an pasti biasa dengar lagu ‘Suasana Hari Raya’ yang dipersembahkan pasangan duet Anuar & Elina.
Tajuk macam hampir sama dengan lagu Junainah M. Amin, tetapi sebenarnya lain sama sekali.
Anuar Zain masa tu masih kanak-kanak lagi, suara pun belum pecah.
Paling syok bila dalam lirik ada sebut tentang jangan lupa beri duit raya.
Bukan tak ada lagu-lagu raya baharu yang sedap, tetapi hanya satu yang benar-benar mengusik jiwa.
Sudah tentulah lagu ‘Satu Hari Di Hari Raya’ yang digubah dan dinyanyikan oleh Datuk M Nasir.
Dahlah muziknya tip top, liriknya pula sangat puitis lantas membangkitkan perasaan syahdu.
OK, semoga anda semua terhibur dengan lagu-lagu raya nostalgia pilihan Edisi 9.
Kami mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Kami juga memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan. – EDISI 9