SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi jaminan perkhidmatan komunikasi negara akan kekal lancar dan stabil sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri susulan pelaksanaan ratusan inisiatif pengukuhan rangkaian oleh syarikat telekomunikasi (telco).
MCMC dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan sejak awal Mac lalu bagi menampung peningkatan trafik komunikasi semasa musim perayaan.
Menurut MCMC, daripada jumlah berkenaan, 774 inisiatif melibatkan kerja pengoptimuman rangkaian bagi meningkatkan kualiti liputan dan kapasiti perkhidmatan kepada pengguna.
“Selain itu, sebanyak 27 pengaktifan dan modenisasi rangkaian 5G turut dilaksanakan, manakala 21 penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station (PBTS), Cellular on Wheel (CoW), Mobile Base Transceiver Station (MBTS) dan Mobile Communications Vehicle (MCV) digerakkan di lokasi strategik,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah MCMC, usaha lain yang dilaksanakan termasuk 19 kerja naik taraf rangkaian, 14 perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN), 10 pengaktifan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) serta satu tapak baharu yang telah diaktifkan.
Menurut MCMC, pelaksanaan langkah berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan yang dijangka mengalami kesesakan trafik komunikasi seperti lebuh raya utama, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah serta destinasi pelancongan dan lokasi tumpuan ramai.
“Bagi memastikan tahap perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik, semua telco telah diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan,” kata MCMC.
Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan pihaknya akan memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat-pejabat negeri termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal.
Orang ramai yang berdepan masalah rangkaian disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi MCMC bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan segera.
“MCMC kekal komited memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan selamat, khususnya pada waktu-waktu penting seperti Hari Raya Aidilfitri ketika pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya. — Edisi 9

