PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digesa melaksanakan resolusi-resolusi berkaitan hak rakyat Palestin khususnya berhubung kedaulatan Baitul Muqaddis (Al-Quds) sebagai ibu negara Palestin buat selama-lamanya.
Gesaan itu merupakan salah satu tuntutan yang dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh 18 pertubuhan bukan kerajaan dalam rantau ASEAN.
Kenyataan penuh mereka sempena Hari Al-Quds Antarabangsa 2020 seperti diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu adalah seperti berikut:
Hari ini merupakan Jumaat terakhir Ramadan 1441 Hijrah / 2020 yang juga adalah Hari Al-Quds Antarabangsa, kami di sini ingin menyuarakan tentang solidariti seluruh umat Islam dan orang ramai di seluruh dunia yang mencintai keamanan yang berdiri teguh menentang ideologi zionisme dan negara haram Israel.
Hari ini adalah hari istimewa dalam perpaduan dan seruan lantang solidariti global terhadap negara yang diwujudkan 72 tahun lalu untuk menduduki sebuah negara berdaulat dengan menggunakan keganasan dan jenayah tidak bertamadun ke atas rakyat Palestin yang tidak berdaya.
Komitmen yang ditunjukkan oleh kuasa-kuasa imperialis Barat, khususnya United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) di bawah pengaruh gerakan Zionis telah melahirkan sebuah negara pengganas dan aparteid iaitu Israel yang sejak kewujudannya telah menzalimi rakyat Palestin.
Kepungan rejim Zionis terhadap Al-Quds sejak pendudukan Israel pada 1967 adalah satu serangan bukan sahaja ke atas Palestin malah terhadap keamanan dunia dan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia PBB.
Perpaduan Islam sedang dicabar oleh negara pengganas Israel dan pendudukan di Al-Quds. Al-Quds adalah garisan merah di mana umat Islam tidak akan berkompromi manakala penentangan terhadap pendudukan (Israel) merupakan hak rakyat Palestin dan umat Islam yang tidak boleh dipersoalkan.
Kami mengisytiharkan bahawa umat Islam di seluruh dunia mempunyai hak keagamaan untuk menentang dan membantah pendudukan Al-Quds dan perpaduan mereka adalah prasyarat dalam usaha membebaskan Tanah Suci.
Kami mengisytiharkan bahawa perjuangan untuk membebaskan Al-Quds adalah perjuangan demi keadilan, maruah dan kemerdekaan. Semua negara Islam wajib berganding bahu memikul tanggungjawab dalam menjayakan usaha membebaskan Al-Quds.
Kami mengutuk sekeras-kerasnya apa yang dinamakan Perjanjian Abad Ini yang ditaja oleh AS yang berat sebelah memihak kepada Israel. Penyerahan sepenuhnya dan mengiktiraf pendudukan Israel terhadap Palestin tidak boleh sama sekali menjadi asas perjanjian yang wajar dan adil.
Kami kesal dengan pendekatan berdamai oleh beberapa negara Teluk yang menjalinkan hubungan tidak rasmi dengan negara pengganas Israel sekali gus tidak mengendahkan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin selama berdekad-dekad.
Kami mengisytiharkan bahawa Al-Quds adalah ibu kota Jerusalem untuk selama-lamanya dan Masjid Al-Aqsa sebagai kawasan larangan untuk ibadat agama-agama selain Islam.

Kami menolak sekeras-kerasnya agenda pengyahudian Israel terhadap Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa. Dalam apa keadaan sekali pun, kita tidak boleh membiarkan pengubahan dilakukan terhadap identiti Islam Al-Quds sama ada dari segi nama, ruang, fizikal atau ciri-ciri budaya.
Kami menegaskan sekali lagi kecaman terbuka kami terhadap dasar AS yang menghalalkan penempatan haram di atas tanah milik rakyat Palestin, mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel dan rancangan mengilhakkan Tebing Barat.
Kami menuntut:
- PBB melaksanakan resolusi-resolusi yang telah diluluskan berkaitan hak rakyat Palestin. Tumpuan khusus mesti diberikan terhadap resolusi-resolusi berkaitan kedaulatan Al-Quds sebagai ibu negara Palestin buat selama-lamanya.
- Semua tentera pendudukan Israel mesti berundur sepenuhnya dari Jerusalem Timur dan menguatkuasakan hak penjagaan Jordan terhadap Masjid Al-Aqsa.
- Tanah-tanah dan rumah-rumah rakyat Palestin yang dirampas secara haram oleh pendatang-pendatang Yahudi mesti dipulangkan kepada pemilik-pemilik yang sah dan hak pelarian Palestin untuk kembali ke negara asal mereka seperti yang termaktub di bawah Resolusi 194 PBB mesti dipatuhi.
- Pembubaran undang-undang diskriminasi dan aparteid di bawah rejim Zionis dan perlindungan ke atas hak-hak rakyat Palestin di bawah Wilayah Palestin Yang Diduduki ketika ini.
- PBB dan agensi-agensi antarabangsa yang lain mesti campur tangan untuk menghalang rancangan rejim Zionis untuk mengilhakkan Tebing Barat.
- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti mendesak pelaksanaan semua resolusi yang relevan dan telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan PBB, termasuk resolusi-resolusi tentang Status Jerusalem.
- Resolusi Majlis Keselamatan PBB tentang amalan-amalan tidak sah Israel di wilayah yang diduduki di Palestin termasuk Al-Quds Timur dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB No. 2334 pada 2016 mesti dipatuhi.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
Ahli Lembaga Gabungan NGO Rakyat ASEAN Untuk Palestin
Disokong:
MALAYSIA
Datuk Seri Ahmad Awang
Pengerusi Perikatan Masjid Dunia Mempertahankan Al-Aqsa
Datuk Wira Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi Sekretariat Perhimpunan Ulama Asia
Mohideen Abdul Kader
Pengarah Citizens International
Syed Syekh Al Attas
Pengerusi SEJAGAT
Mohammad Faisal Abdul Aziz
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia
Prof Dr Roslan Mohd Nor
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia
Dr Sharif Abu Shammala
Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia
Muslim Imran
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Islam Malaysia
Dr Ahed Abualatta
Pengerusi Persatuan Cendekiawan Palestin Luar Negara, Asia Tenggara
Datuk Dr Ahmad Farouk Musa
Pengerusi Islamic Renaissance Front
Prof Dr Nazari Ismail
Pengerusi BDS Malaysia
Prof. Dr Chandra Muzafar
Presiden International Movement for a JUST World
INDONESIA
Agus Sudarmaji
Pengerusi Kumpulan Kerja Al-Aqsa
KEMBOJA
Jamal Abdul Naser
Presiden Persatuan Keadilan dan Pembangunan Kemboja
THAILAND
Dr Ananchai Thaipratan
Setiausaha Agung Jawatankuasa Rangkaian Kemanusiaan, Pejabat Syekhul Islam Thailand
FILIPINA
Dr. Zulfikar J. Bantas
Pengarah IV, Pengarah Wilayah
Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina (NCMF), Wilayah 9 Semenanjung Zamboanga
MYANMAR
Zaw Min Aung @ Ibrahin bin Ali
Penasihat Komuniti Sosial dan Kebajikan Arakan Selatan, Myanmar. – EDISI 9