Tuesday, July 21, 2026

Hampir 500 ditahan kes kesalahan hutan tahun lalu – JPSM

Menurut beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada 13 warga Myanmar, Indonesia (11), Bangladesh (6), Vietnam (3), China (3), Kemboja (2), Kenya (2) dan dua warga Pakistan.

Mesti Baca

SERAMAI 491 individu termasuk 44 warga asing ditangkap atas kesalahan berkaitan hutan di seluruh Semenanjung Malaysia, sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 75 kes dikesan menerusi aktiviti rondaan berjadual yang dilaksanakan bersama anggota Unit Penguatkuasa di peringkat daerah dan negeri.

“Kita melakukan 491 tangkapan sepanjang tahun lalu membabitkan 447 warga tempatan dan 44 warga asing. Kesemua tangkapan ini telah diambil tindakan di bawah akta dan perundangan jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan JPSM bersama Jabatan Perhutanan Negeri, ‘Ops Limau 2026’ sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina, di Pekan, Pahang hari ini.

Menurut beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada 13 warga Myanmar, Indonesia (11), Bangladesh (6), Vietnam (3), China (3), Kemboja (2), Kenya (2) dan dua warga Pakistan.

Dalam pada itu, Zahari berkata, Ops Limau 2026 dilaksanakan bermula 11 hingga 27 Februari ini melibatkan kerjasama strategik antara JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri.

Katanya, ia dilaksanakan melalui rondaan bersepadu, pemantauan berterusan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan sistematik di lapangan.

Pelaksanaan operasi tersebut, kata beliau, merupakan langkah proaktif susulan peningkatan permintaan terhadap hasil hutan, khususnya kayu balak dan produk berasaskan kayu yang lazimnya meningkat menjelang musim perayaan dan berpotensi mendorong pelanggaran undang-undang perhutanan.

“Operasi ini bukan sahaja bertujuan memastikan aktiviti pengeluaran, pengangkutan dan perdagangan hasil hutan dilaksanakan secara sah dan mematuhi peraturan semasa, malah turut berperanan membendung pembalakan haram serta penyeludupan hasil hutan sepanjang musim perayaan,” katanya.

Zahari berkata, pelaksanaan Ops Limau 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan, khususnya JPSM, dalam menyokong agenda Kerajaan MADANI dengan memperkukuh tadbir urus, integriti serta pengurusan sumber asli secara mampan demi kepentingan generasi kini dan akan datang.

“Pemeliharaan hutan bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, malah memerlukan sokongan semua pihak termasuk pemain industri, komuniti setempat dan masyarakat umum.

“Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi JPSM bagi membantu usaha membanteras aktiviti haram,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan