INSTITUSI pendidikan tinggi (IPT) yang terjejas akibat banjir dibenar melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar tidak terganggu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, kelonggaran itu juga diberikan sebagai langkah memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga IPT terjamin.
“KPT memantau dengan teliti perkembangan banjir yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sejak beberapa hari lalu berikutan hujan lebat berterusan.
“Situasi banjir kali ini bukan sahaja menjejaskan kawasan bandar dan kediaman, malah turut memberi impak kepada beberapa IPT yang dinaiki air, sekali gus menjejaskan pengoperasian premis serta pelaksanaan proses PdP,” kata kenyataan itu hari ini.
Pada masa yang sama, KPT turut mengaktifkan bilik gerakan banjir di IPT yang terlibat bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi semasa serta penyaluran bantuan segera, khususnya makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas bagi pelajar serta warga IPT.
KPT juga menyeru semua warga IPT yang terkesan agar sentiasa menjaga keselamatan diri, berada di kawasan selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta pasukan keselamatan.
“Seluruh warga Kementerian mendoakan agar semua mangsa banjir di negeri-negeri terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,”katanya.
Setakat ini lapan negeri dilanda banjir membabitkan lebih 10,000 mangsa dengan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi manakala jumlah mangsa dijangka terus meningkat.
Ini berikutan hujan lebat masih lagi turun di beberapa negeri terutama di utara Semenanjung. – Edisi 9

